Anda di sini

Tragedi Triso

Advertisement

Tragedi Triso: Tiga beranak disemadikan hari ini

Orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir, hari ini.

SIBU: Jasad tiga beranak, Lorna Ting, 33, Alvin Phang, 12, dan Wallace Phang, 7, yang terkorban dalam tragedi Triso pada 1 Januari lalu disemadikan Taman Peringatan Nirvana, hari ini.

Lebih 50 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan menghadiri upacara penghormatan terakhir di Rumah Mayat Sibu (Sibu Mortuary), Jalan Bukit Lima sekitar pukul 7 pagi. 

Pengerusi Persatuan Sibu Chiang Chuan, Lim Hong Hui serta beberapa ahli juga berada di sana untuk memastikan upacara berjalan lancar, sebelum berangkat ke Taman Peringatan Nirvana.

 

Sibu Mortuary adalah milik Persatuan Sibu Chiang Chuan dan persatuan tersebut membenarkan keluarga mendiang menggunakannya secara percuma kerana suami Lorna, Phang Wei Beng, merupakan ahli. 

Sekitar 7.30 pagi, saudara-mara kemudian dibenarkan memasuki bilik mayat untuk memberi penghormatan terakhir kepada jasad tiga beranak tersebut.

Menurut penolong pengurus pembangunan perniagaan dari Nirvana Holdings Berhad Kan Wen Chess, upacara doa sederhana mengikut upacara Buddha diadakan sebelum kremasi bermula.

 

Upacara pembakaran jasad tiga beranak dijalankan sekitar jam 9 pagi dan abu mayat disemadikan di Taman Peringatan Nirvana.

Ketiga-tiga mendiang adalah sebahagian daripada sembilan individu yang mempunyai ikatan kekeluargaan yang meninggal dunia apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki terjunam ke dalam sungai di pangkalan feri Triso pada 1 Januari lalu.

Kakak kepada Lorna, Siti Aisha Abdullah, 36, dan lima anak beliau iaitu Nor Shuhada Mohamad Hamzah, 16, Khairunnisa, 14,  Mohd Aiman tujuh, Muhd Mustaqim, lima, dan Mohd Ahmad, empat bulan dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Hulu di Sri Aman pada 2 Januari, sekitar jam 6.22 petang.

  • oleh
  • Tragedi Triso: Keluarga ucap terima kasih atas sumbangan masyarakat

    Pengerusi SUPP Sibu Dato Chieng Buong Toon (enam kiri) menyerahkan sumbangan kepada ibu mangsa Munah Agom. Turut kelihatan Hing Ping (lima kanan).
    Pengerusi SUPP Sibu Dato Chieng Buong Toon (enam kiri) menyerahkan sumbangan kepada ibu mangsa Munah Agom. Turut kelihatan Hing Ping (lima kanan).
     Wakil PBB Cawangan Nangka Sayed Azmee Wan Junaidi (tiga kiri) menyerahkan sumbangan kepada ibu mangsa Munah Agom. Turut kelihatan Hing Ping (dua kanan).
    Wakil PBB Cawangan Nangka Sayed Azmee Wan Junaidi (tiga kiri) menyerahkan sumbangan kepada ibu mangsa Munah Agom. Turut kelihatan Hing Ping (dua kanan).

    SIBU: Abang mendiang Lorna Ting, Ting Hing Ping mengucapkan terima kasih kepada masyarakat umum atas sumbangan mereka yang membolehkan urusan persemadian mendiang adiknya serta anak-anak mendiang di Taman Peringatan Nirvana dijalankan esok (Selasa).

    Menurutnya, mereka terdahulu mengalami kekurangan dana sekitar RM20,000, dari jumlah kos keseluruhan RM60,000, namun ia berjaya diperolehi dalam masa singkat atas kemurahan hati masyarakat Sibu.

    "Kami sekarang lega akhirnya adik saya dan dua anaknya dapat disemadikan di bawah satu bumbung di Taman Peringatan Nirvana di Sibu pagi esok," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Semalam, Hing Ping telah meminta masyarakat dermawan melalui media tempatan untuk mendapatkan sumbangan kerana kekurangan RM20,000 untuk menampung keseluruhan perbelanjaan upacara tersebut.

    Hari ini, banyak sumbangan diperolehi termasuk dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Nangka dan PBB Cawangan Bawang Assan.

    Terdahulu, Bernama melaporkan bahawa masih ada kekurangan RM20,000 untuk menampung keseluruhan perbelanjaan pengurusan upacara berkenaan.

    Mendiang Lorna Ting, 33, serta dua anak lelakinya Wallace Phang, 7, dan Alvin Phang, 12, meninggal dunia setelah kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bersama enam anggota keluarga lain terjunam ke di Pengkalan Feri Triso di Sebuyau pada 1 Januari lalu.

    Turut terkorban dalam tragedi itu ialah kakak Lorna, Siti Aisha Abdullah, 36, dan lima anaknya, Mohd Aiman ​​Mohd Hamzah, 7, Muhd ​​Mustaqin, 5, Khairunnisa Mohammad, 14, Nor Shuhada Mohammad, 16, dan Mohd Ahmad berusia empat bulan.

    Mereka dalam perjalanan ke Kuching untuk menghantar anak perempuan Siti Aisha ke sekolah tahfiz di Kuching.

  • oleh
  • Tragedi Triso: Keluarga mangsa rayu bantuan untuk persemadian

     

    SIBU: Tidak sampai 24 jam sebelum upacara pembakaran mayat berlangsung di Taman Peringatan Nirvana, ahli keluarga mangsa tragedi jeti feri Triso kini amat memerlukan bantuan orang ramai untuk menampung sebahagian daripada kos upacara itu.

    Abang mendiang Lorna Ting, Hing Ping berkata keluarga mereka memerlukan lebih RM20,000 untuk menampung kos lebih RM60,000 bagi upacara itu.

    "Kami sudah mempunyai lebih RM40,000 setakat ini. Sudah empat hari adik saya dan anak-anaknya meninggal dunia. Upacara pembakaran mayat perlu dilakukan esok,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Hing Ping berkata derma orang ramai boleh disalurkan melalui akaun Public Bank Berhad miliknya, nombor akaun 6836868234 atau berjumpa beliau secara peribadi di Rumah Mayat Sibu.

    Beliau berkata ada beberapa individu telah berjanji untuk membantu setekat ini masih belum menyerahkannya.

    "Kami dengan rasa rendah diri meminta orang ramai membantu kami supaya dapat meneruskan upacara itu," katanya.

    Lorna Ting, 33, serta dua anak lelakinya, Alvin, 12 dan Wallace, 7, meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya bersama enam ahli keluarga lain terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di jeti Feri Triso, Sebuyau pada Jumaat lepas.

    Turut terkorban dalam tragedi itu ialah kakaknya, Siti Aishah Abdullah, 36, dan lima anaknya, Mohd Aiman ​​Mohd Hamzah, 7, Muhd ​​Mustaqin, 5, Khairunnisa, 14, Nor Shuhada, 16 dan Mohd Ahmad berumur empat bulan. Mereka dalam perjalanan ke Kuching untuk menghantar anak perempuan Siti Aishah ke sekolah madrasah. - Bernama

    Tragedi Triso: Suasana pilu selubungi penghormatan terakhir di Rumah Mayat Sibu

     Phang (baju putih) bersama saudara mara memberikan penghormatan terakhir kepada jasad isteri dan dua orang anaknya di Sibu Mortuary, Jalan Bukit Lima di sini hari ini
    Phang (baju putih) bersama saudara mara memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang isteri dan dua orang anaknya di Sibu Mortuary, Jalan Bukit Lima di sini hari ini.

    SIBU: Suasana pilu menyelubungi ketika ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jasad tiga mangsa tragedi Triso di pekarangan Rumah Mayat Sibu di Jalan Bukit Lima, di sini. 

    Jasad Lorna Ting, 33, dan dua anaknya Alvin Phang, 12, Wallace Phang, 7, tiba di pusat pengurusan mayat itu sekitar jam 1 pagi tadi dengan dua van jenazah. 

    Ketibaan disambut oleh Phang Wei Beng, suami dan ayah kepada mangsa tersebut.

    Phang ketika ditemui pemberita memberitahu, jasad isteri dan dua orang anaknya akan dibawa ke Taman Peringatan Nirvana untuk dibakar pada pagi Selasa.

    Katanya, tragedi yang telah meragut nyawa isteri bersama dua anaknya itu amat meruntun jiwanya.

    "Hari ini, ramai saudara mara yang datang dari Sibu dan Kapit hadir untuk memberikan penghormatan terakhir," jelasnya dengan nada sayu.

    Munah tidak dapat menahan sebak ketika saudara mara yang hadir memberikan kata-kata semangat kepadanya.
    Munah Agon, ibu kepada Lorna dan Siti Aisha Abdullah, tidak dapat menahan sebak ketika saudara mara yang hadir memberikan kata-kata semangat kepadanya.

    Terdahulu, menurut ketua rombongan pembawa van jenazah tersebut, Mohammad Sepian Abang Daud, mereka bertolak dari Hospital Sri Aman sekitar jam 8 malam selepas selesai upacara sembahyang khas untuk ketiga-tiga mangsa itu.

    Phang kemudiannya memeluk seorang demi seorang para petugas yang membantu menghantar jasad ahli keluarganya itu ke Sibu.

    Jasad tiga beranak tersebut akan ditempatkan di pusat pengurusan mayat itu bagi membolehkan saudara mara datang untuk menziarahi sebelum dibawa ke Taman Peringatan Nirvana untuk dibakar pada pagi Selasa.

    Mereka adalah sebahagian daripada sembilan sekeluarga yang meninggal dunia apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Triso petang Jumaat lalu.

    Kakak kepada Lorna, Siti Aishah Abdullah, 36 dan lima anaknya iaitu Nor Shuhada Muhamad, 16, Khairunnisa Muhamad, 14, Mohd Aiman Mohd Hamzah, 7, Mohd Mustaqin Mohd Hamzah, 5, dan Mohd Ahmad Mohd Hamzah, empat bulan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Sri Aman sekitar jam 6.22 petang pada Sabtu.

    Pengebumian itu dihadiri oleh suami Siti Aisha, Mohamad Hamzah Razali, saudara mara dan rakan-rakan.

  • oleh
  • Jasad tiga mangsa insiden Triso ditempatkan di Rumah Mayat Sibu

    Pikap yang terjunam ke dalam sungai ditarik ke permukaan air oleh orang awam.
    Pikap yang terjunam ke dalam sungai ditarik ke permukaan air oleh orang awam.

    SIBU: Jasad tiga mangsa insiden Pangkalan Feri Triso tiba di Rumah Mayat Sibu di Jalan Bukit Lima, pada lebih kurang pukul 1 pagi tadi dengan dua van jenazah.

    Setibanya di pusat pengurusan mayat itu, jasad Lorna Ting, 33, dan dua anaknya Alvin Phang, 12 , dan Wallace Phang, 7, disambut oleh Phang Wei Beng, suami dan ayah kepada mangsa tersebut.

    Menurut ketua rombongan pembawa van jenazah tersebut Mohammad Sepian Abg Daud, mereka bertolak dari Hospital Sri Aman pada lebih kurang 8.00 malam, selepas selesai upacara sembahyang khas untuk ketiga-tiga mangsa itu.

    Jasad tiga beranak tersebut akan ditempatkan di pusat pengurusan mayat itu, bagi membolehkan saudara mara datang untuk menziarahi sebelum dibawa ke Taman Peringatan Nirvana untuk dibakar pada pagi Selasa.

    Mereka adalah sebahagian daripada sembilan sekeluarga yang meninggal dunia, apabila sebuah kenderaan pacuan terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar di Pangkalan Feri Triso, petang Jumaat lalu.

    Kakak kepada Lorna, Siti Aisha Abdullah, 36, dan lima anak beliau - Nor Shuhada Mohamad Hamzah, 16; Khairunnisa, 14; Mohd Aiman, tujuh, Muhd Mustaqim, lima, dan Mohd Ahmad, empat bulan, telah dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Hulu di Sri Aman pada lebih kurang 6.22 petang.

    Pengkebumian itu telah dihadiri oleh suami Siti Aisha, Mohamad Hamzah Razali, saudara mara dan rakan-rakan. - Bernama 

    Mesyuarat keselamatan pangkalan feri Isnin ini - Julaihi

    Julaihi bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Masing meninjau lokasi tragedi Triso - Gambar BERNAMA.
    Julaihi bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Masing meninjau lokasi tragedi Triso - Gambar Bernama

    SRI AMAN: Menteri Muda Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata satu mesyuarat bersama agensi-agensi berkaitan akan diadakan Isnin ini bagi membincangkan langkah-langkah peningkatan keselamatan di semua pangkalan feri di negeri ini.

    Beliau berkata mesyuarat itu akan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta operator perkhidmatan feri di seluruh negeri berikutan kejadian kenderaan pacuan empat roda terhumban ke Sungai Batang Lupar di Pangkalan Feri Triso semalam. 

    "Kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapa terhadap tragedi ini (di pangkalan Feri Triso) kerana ia satu kemalangan, namun kita amat bersedih kerana tragedi ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai kemalangan berkenaan di sini hari ini.

    Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata pada masa ini terdapat 12 pangkalan feri di seluruh Sarawak dengan tujuh daripadanya beroperasi di laluan Jalan Pesisir Sarawak, manakala selebihnya di kawasan lain.

    "Kesemua 12 pangkalan feri yang beroperasi ini diberi subsidi sebanyak RM78 juta setahun oleh kerajaan Sarawak dan setiap penumpang hanya dikenakan bayaran RM1.

    "Pada masa ini kita sedang melengkapkan kawasan yang masih bergantung dengan perkhidmatan feri melalui pembinaan jambatan yang dijangka dapat disiapkan sepenuhnya termasuk jambatan Batang Lupar pada 2025,” katanya.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 3.00 petang semalam, sembilan orang termasuk bayi berumur empat bulan maut apabila kenderaan yang dinaiki hilang kawalan dan jatuh ke dalam sungai di sekitar kawasan jeti berkenaan. - Bernama

    Enam mangsa tragedi Triso selamat disemadi di Sri Aman

    Jenazah Siti Aishah dan lima anaknya selamat disemadi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Sri Aman. Gambar Roystein Emmor
    Jenazah Siti Aishah dan lima anaknya selamat disemadi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Sri Aman. - Gambar Roystein Emmor

    KUCHING: Jenazah enam beranak yang merupakan mangsa tragedi Triso selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Sri Aman.

    Mangsa Siti Aishah Abdullah dan lima anaknya dikebumikan dalam satu liang lahad selepas Solat Asar. 

    Lima anaknya yang terkorban sama Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, Mohd Ahmad Mohd Hamzah, 4, Muhd Mustaqin Mohd Hamzah, 5, Khairunnisa Muhamad, 14 dan  Nor Shuhada Muhamad, 16. 

    Suami mangsa, Mohamad Hamzah Razali bersama dua lagi anak mereka kelihatan sebak ketika bacaan doa dihadapan pusara isteri dan anak-anaknya.

    Turut tidak dapat menahan sebak ibu mangsa (Siti Aishah) Munah Agon yang turut hadir bersama ahli keluarga serta sanak saudara yang lain. 

    Dalam pada itu tiga lagi mangsa Lorna Ting, 33, dan dua anaknya Wallace Phang, 7 dan Alvin Phang, 12, akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian di Sibu. 

    Suami mangsa Hamzah (tiga kanan) dan dua anak sebak dihadapan pusara isteri dan lima anaknya. Gambar Rosytein Emmor
    Suami mangsa Hamzah (tiga kanan) dan dua anak sebak di hadapan pusara isteri dan lima anaknya. - Gambar Rosytein Emmor
    Fatihah Najwa Mohamad Hamzah (dua kiri) sayu menatap pusara ibu dan adik beradiknya. Gambar Roystein Emmor
    Fatihah Najwa Mohamad Hamzah (dua kiri) sayu menatap pusara ibu dan adik beradiknya. - Gambar Roystein Emmor
    Munah (empat kanan) serta ahli keluarga yang lain sebak ketika pengebumian anak dan lima cucunya. Gambar Rosytein Emmor
    Munah (empat kanan) serta ahli keluarga yang lain sebak ketika pengebumian anak dan lima cucunya. -Gambar Rosytein Emmor
  • oleh
  • Nanta ziarah keluarga mangsa tragedi Triso

    Nanta tidak dapat menahan sebak ketika menziarahi keluarga mangsa tragedi Triso di Sri Aman.
    Nanta tidak dapat menahan sebak ketika menziarahi keluarga mangsa tragedi Triso di Sri Aman.

    SRI AMAN: Bantuan kewangan telah disalurkan kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden kenderaan pacuan empat roda (4WD) terjunam ke dalam sungai di Pangkalan Feri Triso, Sungai Batang Lupar, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

    "Saya dan isteri saya bergegas dari Kuching ke Sri Aman hari ini setelah mendengar kejadian itu semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat turut ikut serta mengunjungi keluarga mangsa,” kata Nanta kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa di Hospital Sri Aman di sini hari ini.

    Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata bantuan kewangan itu diberikan bertujuan untuk meringankan beban keluarga mangsa bagi menanggung perbelanjaan pengebumian.

    Ahli Parlimen Kapit itu berpendapat beliau harus berjumpa dengan keluarga mangsa kerana mereka berasal daripada kawasan Parlimen diwakilinya.

    “Lebih-lebih lagi, saya tahu rumah panjang dari mana mereka berasal,” katanya.

    Nanta memberitahu, ibu kepada dua mangsa dewasa, Munah Agon mengatakan dia merasa sangat sedih untuk pulang ke rumahnya di Kapit.

    Beliau dalam pada itu memberitahu enam mangsa  beragama Islam akan dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam di Sri Aman pada petang ini (Sabtu)

    “Manakala tiga mangsa yang bukan beragama Islam pula, jasad mereka akan dibawa ke Sibu pada malam ini untuk disemadikan,” katanya.

    TRAGEDI TRISO: 'Emak pakai baju cantik-cantik' rupanya permintaan terakhir 

     Munah bersama dua lagi cucunya ketika berada di Hospital Sri Aman.
     Munah bersama dua lagi cucunya ketika berada di Hospital Sri Aman.

    KUCHING:  "Emak pakai baju cantik-cantik kita mahu ke Kuching," demikian permintaan seorang mangsa tragedi Feri Batang Lupar (Triso) kepada ibunya Munah Agon sebelum mereka bertolak ke Kuching.

    Munah ibu kepada dua mangsa, Siti Aishah Abdullah (36) dan Lorna Ting (33) antara sembilan nyawa terkorban termasuk bayi berusia empat bulan dalam tragedi pikap jatuh sungai dari Pangkalan Feri Batang Lupar, Triso pada petang Jumaat.

    Malahan kata Munah, mereka sanggup bangun seawal jam 4.30 pagi untuk persiapan ke Kuching dan pada masa itulah anaknya, membuat permintaan agar ibunya memakai pakaian cantik.

    "Kami bangun jam 4.30 pagi sebab mahu ke Kuching, masa itu anak saya (mangsa) kata, 'Mak pakai baju cantik-cantik, kita mahu berjalan ke Kuching'. Saya pun pakai seluar dan baju, tapi sekali lagi dia cakap, tak cantik..pakai yang lagi cantik

    "Saya pakai yang cantik, tapi saya tidak tahupun itu adalah permintaan terakhir," katanya penuh sebak.

    Munah berkata bahkan juga anaknya yang seorang lagi (juga mangsa) turut sempat menghubungi suaminya yang masih tinggal di rumah.

    "Masa itu anak saya yang keempat (mangsa) turut menghubungi suaminya menyatakan dia nak ke Kuching dan berpesan jangan panggil saya, kalau nak minum air buat sendiri," katanya.

    Menceritakan detik kemalangan, Munah berkata, dia menaiki kenderaan lain bersama anak lelakinya selain ahli keluarga lain.

    "Dua lagi cucu saya, iaitu anak kepada seorang mangsa dan anak kepada anak lelaki saya, turut menumpang pikap bersama mereka. Namun anak lelaki saya merasa tidak sedap hati dan mengambil anaknya bersama kami.

    "Begitu juga seorang lagi, cucu saya juga anak mangsa, turut saya ambil dan berpindah ke kenderaan kami, kalau tidak mereka pun turut sama dalam insiden ini," katanya.
     
    Munah berkata, pada mulanya mereka memutuskan untuk memandu melalui jalan Sri Aman - Kuching (Lebuh Raya Pan Borneo) tetapi seorang mangsa, membuat keputusan menggunakan jalan pesisir menggunakan feri kerana ia lebih dekat.

    Katanya, anak lelakinya pada mulanya enggan menggunakan jalan pesisir bagaimanapun terpaksa mengikuti mereka.

    "Kami sampai lebih awal dari mereka, disebabkan saya mencari tandas kami berhenti dan semasa saya sedang mencari syiling untuk bayar masuk, tiba-tiba saya dengar bunyi kenderaan laju dan terus berdentum.

    "Perkara pertama keluar dari mulut saya 'mati anak saya'," ceritanya sambil memberitahu dia sendiri menyaksikan anak serta cucunya tenggelam dalam pikap.

    Katanya dia amat berterima kasih kepada semua orang awam yang membantu cuba menyelamatkan anak serta cucunya semasa mereka berjaya dibawa ke darat.

    Dalam kejadian tragis itu pada petang Jumaat, selain Siti Aishah dan Lorna, antara lain turut menjadi mangsa Mohd Aiman ​​Mohd Hamzah, 7, Mohd Ahmad Mohd Hamzah, 4, Muhd. Mustaqin Mohd Hamzah, 5, Khairunnisa Muhamad, 14, Nor Shuhada  Muhamad, 16, Wallace Phang, 7 dan Alvin Phang, 12.

  • oleh
  • TRAGEDI TRISO: Juragan feri tak dapat tidur kenang kejadian

     

    SEBUYAU: Pelbagai versi cerita mengenai tragedi hitam yang mengorbankan sembilan nyawa termasuk bayi empat bulan yang terjatuh sungai dari Pangkalan Feri Batang Lupar, Triso petang Jumaat. 

    Disebalik kisah tragis itu, Juragan Feri Batang Lupar Kurmi Denan (gambar) menceritakan situasi sebenar insiden tersebut. 

    "Saya yang hendak 'sign in', saya dalam keadaan (kedudukan feri ke pangkalan) kira-kira 30 hingga 40 meter, mula-mula saya lihat dari atas (tempat juragan) tiada kereta. Jadi saya fokus bawa feri (untuk sign in), tiba-tiba melihat terdapat sebuah kereta turun dari atas ke bawah tanjakan langsung tidak brek. 

    "Rakan yang bersama saya memaklumkan kepada saya lihat kereta itu kenapa turun sedangkan tiada feri di pangkalan sebelum dia hairan dan melihat kereta tersebut menuruni tanjakan dan terus masuk ke dalam sungai," katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Feri Batang Lupar, Triso hari ini. 

    Disebabkan insiden itu, juragan tersebut mendapat kecaman di media sosial seolah-olah menyalahkannya dan rakan-rakan sekerjanya. 

    "Saya orang pertama yang melihat (insiden tersebut), saya masih trauma, tidak dapat tidur mengenangkan kejadian itu," tambahnya. 

    Jelas Kurmi lagi, sebaik sahaja melihat kereta terbabit jatuh sungai, dia tidak meneruskan hasrat untuk 'sign in' feri tersebut. 

    Sebaliknya, dia membawa feri tersebut ke lokasi kereta terbabit jatuh untuk membantu. 

    Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata, ini bukan masanya untuk menyalahkan sesiapa kerana insiden tersebut telah terjadi dan mengakibatkan korban.

    "Apa yang penting bagi saya dan kita semua adalah untuk menggelakkan insiden sebegini berulang, patuhi peraturan yang ditetapkan ketika menggunakan perkhidmatan feri," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement