Anda di sini

TRAGEDI TRISO: 'Emak pakai baju cantik-cantik' rupanya permintaan terakhir 

Advertisement
 Munah bersama dua lagi cucunya ketika berada di Hospital Sri Aman.
 Munah bersama dua lagi cucunya ketika berada di Hospital Sri Aman.

KUCHING:  "Emak pakai baju cantik-cantik kita mahu ke Kuching," demikian permintaan seorang mangsa tragedi Feri Batang Lupar (Triso) kepada ibunya Munah Agon sebelum mereka bertolak ke Kuching.

Munah ibu kepada dua mangsa, Siti Aishah Abdullah (36) dan Lorna Ting (33) antara sembilan nyawa terkorban termasuk bayi berusia empat bulan dalam tragedi pikap jatuh sungai dari Pangkalan Feri Batang Lupar, Triso pada petang Jumaat.

Malahan kata Munah, mereka sanggup bangun seawal jam 4.30 pagi untuk persiapan ke Kuching dan pada masa itulah anaknya, membuat permintaan agar ibunya memakai pakaian cantik.

"Kami bangun jam 4.30 pagi sebab mahu ke Kuching, masa itu anak saya (mangsa) kata, 'Mak pakai baju cantik-cantik, kita mahu berjalan ke Kuching'. Saya pun pakai seluar dan baju, tapi sekali lagi dia cakap, tak cantik..pakai yang lagi cantik

"Saya pakai yang cantik, tapi saya tidak tahupun itu adalah permintaan terakhir," katanya penuh sebak.

Munah berkata bahkan juga anaknya yang seorang lagi (juga mangsa) turut sempat menghubungi suaminya yang masih tinggal di rumah.

"Masa itu anak saya yang keempat (mangsa) turut menghubungi suaminya menyatakan dia nak ke Kuching dan berpesan jangan panggil saya, kalau nak minum air buat sendiri," katanya.

Menceritakan detik kemalangan, Munah berkata, dia menaiki kenderaan lain bersama anak lelakinya selain ahli keluarga lain.

"Dua lagi cucu saya, iaitu anak kepada seorang mangsa dan anak kepada anak lelaki saya, turut menumpang pikap bersama mereka. Namun anak lelaki saya merasa tidak sedap hati dan mengambil anaknya bersama kami.

"Begitu juga seorang lagi, cucu saya juga anak mangsa, turut saya ambil dan berpindah ke kenderaan kami, kalau tidak mereka pun turut sama dalam insiden ini," katanya.
 
Munah berkata, pada mulanya mereka memutuskan untuk memandu melalui jalan Sri Aman - Kuching (Lebuh Raya Pan Borneo) tetapi seorang mangsa, membuat keputusan menggunakan jalan pesisir menggunakan feri kerana ia lebih dekat.

Katanya, anak lelakinya pada mulanya enggan menggunakan jalan pesisir bagaimanapun terpaksa mengikuti mereka.

"Kami sampai lebih awal dari mereka, disebabkan saya mencari tandas kami berhenti dan semasa saya sedang mencari syiling untuk bayar masuk, tiba-tiba saya dengar bunyi kenderaan laju dan terus berdentum.

"Perkara pertama keluar dari mulut saya 'mati anak saya'," ceritanya sambil memberitahu dia sendiri menyaksikan anak serta cucunya tenggelam dalam pikap.

Katanya dia amat berterima kasih kepada semua orang awam yang membantu cuba menyelamatkan anak serta cucunya semasa mereka berjaya dibawa ke darat.

Dalam kejadian tragis itu pada petang Jumaat, selain Siti Aishah dan Lorna, antara lain turut menjadi mangsa Mohd Aiman ​​Mohd Hamzah, 7, Mohd Ahmad Mohd Hamzah, 4, Muhd. Mustaqin Mohd Hamzah, 5, Khairunnisa Muhamad, 14, Nor Shuhada  Muhamad, 16, Wallace Phang, 7 dan Alvin Phang, 12.

  • oleh
  • Advertisement