Anda di sini

Tragedi Triso: Suasana pilu selubungi penghormatan terakhir di Rumah Mayat Sibu

Advertisement
 Phang (baju putih) bersama saudara mara memberikan penghormatan terakhir kepada jasad isteri dan dua orang anaknya di Sibu Mortuary, Jalan Bukit Lima di sini hari ini
Phang (baju putih) bersama saudara mara memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang isteri dan dua orang anaknya di Sibu Mortuary, Jalan Bukit Lima di sini hari ini.

SIBU: Suasana pilu menyelubungi ketika ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jasad tiga mangsa tragedi Triso di pekarangan Rumah Mayat Sibu di Jalan Bukit Lima, di sini. 

Jasad Lorna Ting, 33, dan dua anaknya Alvin Phang, 12, Wallace Phang, 7, tiba di pusat pengurusan mayat itu sekitar jam 1 pagi tadi dengan dua van jenazah. 

Ketibaan disambut oleh Phang Wei Beng, suami dan ayah kepada mangsa tersebut.

Phang ketika ditemui pemberita memberitahu, jasad isteri dan dua orang anaknya akan dibawa ke Taman Peringatan Nirvana untuk dibakar pada pagi Selasa.

Katanya, tragedi yang telah meragut nyawa isteri bersama dua anaknya itu amat meruntun jiwanya.

"Hari ini, ramai saudara mara yang datang dari Sibu dan Kapit hadir untuk memberikan penghormatan terakhir," jelasnya dengan nada sayu.

Munah tidak dapat menahan sebak ketika saudara mara yang hadir memberikan kata-kata semangat kepadanya.
Munah Agon, ibu kepada Lorna dan Siti Aisha Abdullah, tidak dapat menahan sebak ketika saudara mara yang hadir memberikan kata-kata semangat kepadanya.

Terdahulu, menurut ketua rombongan pembawa van jenazah tersebut, Mohammad Sepian Abang Daud, mereka bertolak dari Hospital Sri Aman sekitar jam 8 malam selepas selesai upacara sembahyang khas untuk ketiga-tiga mangsa itu.

Phang kemudiannya memeluk seorang demi seorang para petugas yang membantu menghantar jasad ahli keluarganya itu ke Sibu.

Jasad tiga beranak tersebut akan ditempatkan di pusat pengurusan mayat itu bagi membolehkan saudara mara datang untuk menziarahi sebelum dibawa ke Taman Peringatan Nirvana untuk dibakar pada pagi Selasa.

Mereka adalah sebahagian daripada sembilan sekeluarga yang meninggal dunia apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Triso petang Jumaat lalu.

Kakak kepada Lorna, Siti Aishah Abdullah, 36 dan lima anaknya iaitu Nor Shuhada Muhamad, 16, Khairunnisa Muhamad, 14, Mohd Aiman Mohd Hamzah, 7, Mohd Mustaqin Mohd Hamzah, 5, dan Mohd Ahmad Mohd Hamzah, empat bulan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Sri Aman sekitar jam 6.22 petang pada Sabtu.

Pengebumian itu dihadiri oleh suami Siti Aisha, Mohamad Hamzah Razali, saudara mara dan rakan-rakan.

  • oleh
  • Advertisement