Anda di sini

TRAGEDI TRISO: Juragan feri tak dapat tidur kenang kejadian

Advertisement
 

SEBUYAU: Pelbagai versi cerita mengenai tragedi hitam yang mengorbankan sembilan nyawa termasuk bayi empat bulan yang terjatuh sungai dari Pangkalan Feri Batang Lupar, Triso petang Jumaat. 

Disebalik kisah tragis itu, Juragan Feri Batang Lupar Kurmi Denan (gambar) menceritakan situasi sebenar insiden tersebut. 

"Saya yang hendak 'sign in', saya dalam keadaan (kedudukan feri ke pangkalan) kira-kira 30 hingga 40 meter, mula-mula saya lihat dari atas (tempat juragan) tiada kereta. Jadi saya fokus bawa feri (untuk sign in), tiba-tiba melihat terdapat sebuah kereta turun dari atas ke bawah tanjakan langsung tidak brek. 

"Rakan yang bersama saya memaklumkan kepada saya lihat kereta itu kenapa turun sedangkan tiada feri di pangkalan sebelum dia hairan dan melihat kereta tersebut menuruni tanjakan dan terus masuk ke dalam sungai," katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Feri Batang Lupar, Triso hari ini. 

Disebabkan insiden itu, juragan tersebut mendapat kecaman di media sosial seolah-olah menyalahkannya dan rakan-rakan sekerjanya. 

"Saya orang pertama yang melihat (insiden tersebut), saya masih trauma, tidak dapat tidur mengenangkan kejadian itu," tambahnya. 

Jelas Kurmi lagi, sebaik sahaja melihat kereta terbabit jatuh sungai, dia tidak meneruskan hasrat untuk 'sign in' feri tersebut. 

Sebaliknya, dia membawa feri tersebut ke lokasi kereta terbabit jatuh untuk membantu. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata, ini bukan masanya untuk menyalahkan sesiapa kerana insiden tersebut telah terjadi dan mengakibatkan korban.

"Apa yang penting bagi saya dan kita semua adalah untuk menggelakkan insiden sebegini berulang, patuhi peraturan yang ditetapkan ketika menggunakan perkhidmatan feri," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement