Anda di sini

Dr Maszlee Malik

Advertisement

Pembinaan semula, baik pulih empat sekolah daif di Sarawak lebih cepat daripada jadual - Maszlee

 Facebook Dr Mazlee Malik
Sumber: Facebook Dr Mazlee Malik

KUCHING: Kerja-kerja pembinaan semula dan baik pulih empat antara sekolah yang dikategori daif di Sarawak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, SK Ulu Entabai, SK Nanga Antaroh dan SK Ulu Yong lebih cepat daripada jadual.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dalam hantaran Facebooknya hari ini berkata SK Bandar Bintangor berbanding kemajuan yang sepatutnya 17 peratus sekolah tersebut kini lebih cepat dibina 33 peratus.

Manakala SK Ulu Entabai katanya kini memasuki fasa 18 peratus.

"Projek ketiga ialah di SK Nanga Antaroh yang bertempat di Kapit. Meskipun pembinaannya baharu bermula, progres (kemajuan) lebih cepat dua peratus berbanding rancangan asal.

"Dan sekolah terakhir ialah SK Ulu Yong, juga di Kapit. Seperti sekolah yang sebelum ini, projek ini juga masih berada dalam fasa awal namun cepat satu peratus daripada progress yang sepatutnya," katanya 

Menurut Maszlee projek-projek ini adalah baki 10 peratus daripada jumlah keseluruhan projek sekolah daif.

"Kami di KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) akan sentiasa memantau progres projek, mengemas kini data dan berkongsi dengan seluruh rakyat Malaysia," katanya.


 

  • oleh
  • Pertukaran guru tidak dibeku - Maszlee 

     


    KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pertukaran guru tidak dibekukan dan masih menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam memproses permohonan pertukaran.

    Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (gambar) berkata pihaknya menerima 5,573 permohonan pertukaran guru dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung sementara 873 permohonan dari Semenanjung ke negeri tersebut.

    "Kami masih menggunakan SOP sedia ada iaitu berdasarkan beberapa kriteria seperti kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan di negeri yang dimohon dan keperluan opsyen di negeri yang dimohon.

    KPM juga memberi keutamaan kepada permohonan guru atas alasan mengikuti pasangan dan kami turut mempertimbangkan permohonan kes lain seperti sakit kronik dan ancaman keselamatan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

    Maszlee menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang ingin tahu sama ada KPM membekukan permohonan guru dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke Semenanjung Malaysia.

    Maszlee berkata kekurangan pertukaran guru dari Sabah dan Sarawak sejak beberapa bulan lalu adalah berikutan guru yang memohon pertukaran adalah mereka yang mengajar kelas peperiksaan penting pada tahun ini.

    "Sehingga kelas peperiksaan berakhir tahun ini, barulah permohonan mereka akan dibawa dan ada juga pertukaran guru yang mengajar subjek kritikal iaitu Pendidikan Islam. Kalau mereka (guru mengajar Pendidikan Islam) ditukarkan, maka kami akan terus kekurangan guru bagi subjek tersebut di Sabah dan Sarawak," katanya.

    Dalam pada itu, Maszlee berkata KPM juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk  melihat mekanisme pelaksanaan dan cadangan mewujudkan jawatan Pembantu Guru bagi meringankan beban tugas guru di sekolah.

    "Kementerian amat prihatin dengan beban tugas guru dan KPM juga akan melihat intervensi lain  untuk mengurangkan beban tugas guru secara holistik seperti melibatkan sukarelawan dan guru pencen  di sekolah-sekolah.

    "Hasil laporan daripada jawatankuasa ini akan dijadikan kertas cadangan untuk pertimbangan kelulusan Kabinet," katanya. - Bernama
     

    Pertukaran dalaman di JPN, PPD dibekukan

    Maszlee pada sidang media mengenai kenaikan pangkat, pertukaran serta isu penyelewengan pemberian kontrak di Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA

    PUTRAJAYA: Semua pertukaran dalaman di peringkat  jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) di seluruh negara dibekukan serta-merta susulan  terdapat  maklumat wujudnya percaturan politik dalam pertukaran tersebut.

     Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya mendapat maklumat ada usaha menempatkan pegawai yang setia kepada kerajaan terdahulu di jawatan strategik di JPN dan PPD  yang dikhuatiri bertujuan mensabotaj usaha kementerian dan kerajaan baharu dalam membawa pembaharuan kepada sistem pendidikan negara.

    "Ini adalah perkara yang mengecewakan kerana saya tidak mahu politik kepartian sempit mempengaruhi institusi-institusi pendidikan yang bakal membentuk masa depan anak-anak kita," katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Maszlee berkata, pihaknya juga mengenal pasti tiga negeri di utara dan pantai timur yang aktif melakukan usaha tersebut dan sehubungan itu juga beliau mengarahkan semakan semula kenaikan pangkat dan pertukaran peringkat JPN serta PPD yang berlaku dalam tempoh dua bulan terakhir yang lalu. 

    Katanya, tindakan itu adalah untuk memberi mesej jelas kepada rakyat bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha yang mahu membawa unsur-unsur tidak sihat dalam sistem pendidikan negara.

    "Kita mahu pihak yang terbabit terutamanya mereka yang sengaja mahu menyukarkan kerajaan mereformasi sistem pentadbiran tahu bahawa kerajaan baharu ini tidak akan berkompromi dengan perkara yang merosakkan seperti itu," katanya.

    Maszlee bagaimanapun, tidak menyatakan perincian jumlah pegawai yang terlibat dalam pertukaran itu. - BERNAMA  
     

    Dr Maszlee Malik - Dari pensyarah ke Menteri Pendidikan

     

    KUALA LUMPUR: Dr Maszlee Malik (gambar), Anggota Parlimen Simpang Renggam yang semalam dinamakan sebagai Menteri Pendidikan, berazam untuk memperbaiki sistem pendidikan termasuk meringankan beban guru.

     Menurutnya, sistem  pendidikan negara sekarang perlu disuntik dengan kaedah baharu selain tidak harus terlalu tertumpu kepada ranking (kedudukan) dan peperiksaan.

    "Yang perlu diubah antaranya ialah bebanan guru yang perlu melakukan kerja-kerja seperti perkeranian dan tidak menumpukan perhatian kepada perkara utama iaitu mengajar manakala pelajar pula dibebani dengan beg berat kerana perlu membawa buku yang banyak,” katanya.

    Ketika ditemu bual dalam program terbitan Astro Awani malam ini, Maszlee, 44, mengakui tidak  menjangka diberi portfolio pendidikan yang menurut beliau lazimnya diterajui mereka yang lebih senior dan berpengalaman.

    Nama beliau tersenarai dalam barisan 14 anggota kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini. Mereka dijadual mengangkat sumpah jawatan pada Isnin. Anggota kabinet yang lain bakal dilantik kemudian.

    Dilahirkan di Johor Bahru, Maszlee merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

    Beliau turut menyumbang kepada beberapa badan pemikir dan sering menjadi panelis atau moderator bagi forum yang membincangkan isu-isu berkaitan politik Islam dan politik Timur Tengah,

    Beliau memperolehi ijazah sarjana muda dari Universiti Al al- Bayt, Jordan dan meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya, kedua-duanya dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh.

    Maszlee kemudian melanjutkan pelajaran di School of Governments and International Affairs di Universiti Durham, United Kingdom pada 2007 dan mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang “Good Governance” pada 2011. - BERNAMA
     

    Advertisement