Anda di sini

Pasca PRU15: Malaysia cari PM dan formula bentuk kerajaan pusat

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Setelah lebih 48 jam melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir dengan keputusan tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan, perhatian rakyat tertumpu kepada Istana Negara untuk mengetahui siapakah Perdana Menteri yang baharu.

Keputusan PRU15 dengan situasi Parlimen tergantung menyaksikan dua blok politik Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN), yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak, berada dalam keadaan buntu untuk membentuk gabungan kerajaan yang mempunyai majoriti mudah 112 kerusi.

Bagi memecah kebuntuan, PH mahupun PN, yang masing-masing memperoleh 82 dan 73 kerusi, mendakwa mempunyai jumlah dan sokongan ahli Parlimen Bebas mencukupi bagi menubuhkan kerajaan pusat.

Beberapa siri perbincangan dan rundingan dilakukan kedua-dua blok bagi memujuk parti-parti lain untuk bergabung dan menyokong calon Perdana Menteri, sehingga semalam masih belum berjaya.

Pelbagai formula dikeluarkan antaranya PH bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau PN bekerjasama dengan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta cadangan supaya PH dan PN bergabung, sekali gus menjadi kerajaan kukuh yang mempunyai majoriti lebih dua pertiga.

BN, yang memiliki 30 kerusi dan menjadi rebutan kedua-dua blok, dalam mesyuarat Dewan Tertinggi semalam memutuskan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

Gabungan itu juga menyatakan bahawa tiada mana-mana Ahli Parlimen gabungan itu memberi sokongan terhadap pencalonan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.

GPS yang memenangi 23 kerusi dan GRS, enam kerusi, masing-masing menyatakan sokongan untuk bersama PN manakala Parti Warisan (Warisan) yang memenangi tiga kerusi semalam pula menyatakan sokongannya untuk PH dan BN membentuk kerajaan.

Berbekal pengalaman sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jelas berhati-hati dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung situasi sebegini dan meminta rakyat terus bertenang dan bersabar, sementara menunggu pembentukan kerajaan baharu.

Usai proses penerimaan cadangan gabungan yang akan membentuk kerajaan dan nama Perdana Menteri yang berakhir pada 2 petang semalam, Al-Sultan Abdullah menitahkan ketua gabungan PH dan PN untuk menghadap baginda di Istana Negara pada 4.30 petang berikutan tiada Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Harapan rakyat untuk melihat Perdana Menteri dilantik semalam belum tertunai dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasuki Istana Negara pada 4.10 petang, memaklumkan media yang berkampung sejak awal pagi bahawa belum ada sebarang keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri.

Presiden PKR itu berkata Seri Paduka bertitah supaya kerajaan yang akan ditubuhkan kelak, hendaklah inklusif mewakili semua pihak, kaum dan wilayah, serta dibentuk secara kukuh demi kepentingan rakyat dan pemulihan ekonomi.

Muhyiddin, dalam sidang media sekembalinya dari Istana Negara, pula bertegas bahawa PN mempunyai sokongan dan telah menghantar 115 Surat Akuan Bersumpah Ahli Parlimen secara dalam talian untuk membentuk kerajaan baharu kepada Istana Negara, kelmarin.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa PN tidak akan bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan.    

Susulan ketiadaan sebarang keputusan, Seri Paduka menitahkan 30 Ahli Parlimen BN untuk menghadap baginda secara individu bermula jam 10.30 pagi ini di Istana Negara. - Bernama 

Advertisement