Anda di sini

Sarawak benarkan rentas negeri berkuat kuasa esok 

Advertisement
Gambar fail

KUCHING: Sarawak turut membenarkan rentas negeri bagi individu yang lengkap menerima vaksin COVID-19 tanpa perlu memohon kebenaran daripada polis. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata keputusan membenarkan rentas negeri ini berkuat kuasa esok, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini. 

Bagaimanapun katanya, individu yang ingin memasuki Sarawak masih perlu melakukan beberapa perkara. 

“Individu yang berhasrat rentas negeri perlu membuat permohonan dalam enterSarawak dan sertakan bukti status lengkap vaksinasi. 

“Selain itu mereka juga perlu serta keputusan RT-PCR atau Antigen dari Klinik Kesihatan atau Makmal Kesihatan negatif, sah untuk tiga hari sahaja dan lain-lain maklumat peribadi yang berkaitan,” katanya. 

Dalam pada itu Sarawak hari ini merekodkan 1,132 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kini sebanyak 224,639. 

Daripada jumlah itu katanya 98.76 peratus atau 1,118 kes adalah kategori 1 dan 2 manakala 1.24 peratus atau 14 kes adalah kategori 3 hingga 5. 

Kuching katanya merekodkan kes harian tertinggi (325) diikuti Sibu (154), Miri (137), Lawas (68), Bintulu (66), Bau (52), Betong (50), Limbang (39), Mukah (24), Samarahan (24), Simunjan (24), Sarikei (23), Sri Aman (16), Meradong (13), Matu (13) dan Saratok (12). 

Lain-lain dikesan di Daro (11), Pusa (11), Lubok Antu (8), Subis (8), Serian (7), Telang Usan (7), Dalat (5), Kanowit (5), Asajaya (4), Selangau (4), Sebauh (4), Kapit (3), Song (3), Kabong (3), Marudi (2), Belaga (2), Julau (2), Pakan (2) dan Beluru (1). 

“Terdapat tiga kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan antara 2 hingga 8 Oktober. 

“Satu kes dilaporkan pada 2 Oktober melibatkan perempuan 62 tahun dari Samarahan manakala dua lagi kes masing-masing satu dilaporkan pada 5 dan 8 Oktober melibatkan lelaki berumur 52 dan 87 tahun dari Kuching,” katanya. 

Dalam pada itu tiada kluster baharu diisytiharkan manakala lima kluster ditamatkan menjadikan jumlah kluster masih aktif 72. 

Sementara itu, JPBNS mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti berkuat kuasa antara 8 hingga 21 Oktober. 
 

  • oleh
  • Advertisement