Anda di sini

Individu lengkap vaksin dibenar rentas negeri mulai esok

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. 

"Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama selama ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi COVID-19," katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan platform media sosial petang ini.

Larangan rentas negeri dikuatkuasakan pada 10 Mei lepas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan peningkatan mendadak kes selain Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga pandemik yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

PKP seluruh negara pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac hingga 3 Mei 2020. 

PKP 2.0 dilaksanakan ke atas enam negeri melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dari 13 Jan hingga 26 Jan sebelum dilanjutkan untuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang sehingga 4 Mac lepas. 

Ismail Sabri dalam pada itu menegaskan kebenaran pergerakan rentas negeri tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau turut mengingatkan Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan kerana ia penting bagi membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

Perdana Menteri berkata sekiranya perkara itu diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak COVID-19 kembali meningkat, sambil menyifatkan orang ramai sebagai barisan hadapan untuk melindungi keluarga serta komuniti daripada jangkitan virus itu.

"Sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa ibu bapa atau merentas negeri, Keluarga Malaysia disaran melakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan. Bagi yang bergejala seperti demam, batuk, selesema dan sesak nafas, saya nasihatkan tangguhkanlah dahulu perjalanan.

"Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera," katanya. 

Perdana Menteri berkata walaupun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan.

Katanya pemeriksaan secara rawak tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi remaja dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang belum menerima vaksin masih boleh merentas negeri bersama-sama ibu bapa atau penjaga mereka, namun menjadi tanggungjawab ibu bapa serta penjaga untuk melindungi golongan tersebut daripada jangkitan dengan SOP ditetapkan.

Ditanya sama ada kebenaran rentas negeri akan ditarik jika berlaku peningkatan kes COVID-19, perdana menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menarik balik kebenaran tersebut.

“Pembukaan (kebenaran rentas negeri) tetap dilaksanakan jika berlaku peningkatan kes COVID-19, kita hanya akan laksanakan penutupan di premis yang ada kes jangkitan sahaja, contohnya di Langkawi… kita tutup hotel itu sahaja,” katanya. 

Sementara itu, beliau mengalakkkan rakyat Malaysia yang masih belum divaksin agar segera berbuat demikian kerana banyak kelonggaran boleh dinikmati mereka.

Ismail Sabri berkata antara kelonggaran diumumkan kerajaan adalah merentas negeri, melancong dalam dan luar negara, makan di premis dan sebagainya bergantung kepada syarat lengkap vaksinasi.

“Vaksin mengurangkan risiko jangkitan, mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk, mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19 serta mengurangkan beban sistem kesihatan,” katanya. 

Beliau berkata data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan vaksinasi berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 83 peratus dan kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 sebanyak 88 peratus. - Bernama 

Advertisement