Anda di sini

Keputusan keluar PKR dibuat selepas rundingan bersama pengundi di kawasan - Larry

Advertisement
 

KUCHING: Keputusan untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibuat selepas mengadakan rundingan dengan para pengundi di konstituensinya, kata Ahli Parlimen Julau Larry Sng (gambar).

Larry yang menang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2018 turut mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas mesra kerajaan.  

“Kami telah membuat keputusan secara kolektif untuk saya mengumumkan peletakan jawatan saya dari PKR berkuat kuasa serta-merta.
 
“Terlalu banyak ketidakstabilan politik sejak setahun yang lalu dan ini telah merosakkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. 

“Saya benar-benar percaya bahawa cara terbaik ke hadapan adalah untuk mengetepikan politik buat masa ini, supaya kita dapat membantu menstabilkan dan membina semula negara tercinta bersama-sama,” katanya menerusi catatan yang dimuat naik dalam Facebook beliau, hari ini.

Tambah bekas pengerusi PKR Sarawak itu, Perdana Menteri sedang melakukan apa yang perlu untuk membantu rakyat Malaysia dalam masa yang sukar ini dan beliau percaya bahawa beliau juga harus memainkan peranan untuk menyokong Perdana Menteri. 

Di konstituensinya Julau, rakyat katanya menderita kerana kesan ekonomi akibat pandemik itu. 

Tidak kurang yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan daripada harga komoditi yang rendah, katanya. 

“Saya tidak dapat berkhidmat di Julau dengan berkesan melalui kekurangan dana pembangunan yang sangat diperlukan. 

“Dengan langkah ini hari ini, saya yakin bahawa saya akan dapat menunaikan janji-janji pilihan raya saya kepada pemilih saya,” ujar Larry. 

Terdahulu, Larry bersama Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon menyerahkan Akaun Bersumpah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Hari ini saya menerima SD daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan PN. 

"Akuan Bersumpah oleh Ahli Parlimen Julau, YB Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, YB Steven Choong Shiau Yoon itu ditandatangani dan diserahkan kepada saya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya," kata Muhyiddin.

Berita berkaitan: PM terima Akuan Bersumpah Larry dan Steven

  • oleh
  • Advertisement