Anda di sini

PM terima Akuan Bersumpah Larry dan Steven

Advertisement

KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau menerusi hantaran Facebook rasminya memaklumkan, SD daripada dua Ahli Parlimen itu adalah Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon. 

"Hari ini saya menerima SD daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan PN. 

"Akuan Bersumpah oleh Ahli Parlimen Julau, YB Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, YB Steven Choong Shiau Yoon itu ditandatangani dan diserahkan kepada saya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya," katanya. 

Jelasnya, dengan sokongan itu akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik COVID-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara.

"Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik COVID-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara," ujarnya.

Terdahulu, Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Joshua Jabeng mengesahkan Larry telah meletak jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak.

Menurutnya, keputusan untuk meletakkan jawatan itu dimaklumkan Larry pada mesyuarat majlis kepimpinan negeri yang diadakan secara persidangan video, Jumaat lepas. 

Berita berkaitan: Larry letak jawatan pengerusi PKR Sarawak, kata setiausaha

Advertisement