Anda di sini

Tiada Ahli Parlimen GPS sokong Anwar - Wan Junaidi

Advertisement
WAN JUNAIDI

KUCHING: Dakwaan Ahli-ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah tidak betul.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Ahli Parlimen Santubong yang menafikan dakwaan itu menambah, Ahli-ahli Parlimen GPS tidak berpecah-belah dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) kalau nak buat apa-apa beliau mesti panggil Ahli-ahli Parlimen (GPS) dulu.

"Tak pernah dia buat keputusan begitu sahaja. Beliau begitu inklusif, sangat terperinci. Saya tak percaya langsung benda tu berlaku dengan GPS," kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika dihubungi Utusan Borneo, hari ini.

KEMAS KINI BERMULA DI SINI

Wan Junaidi berkata lagi, Mesyuarat Kabinet hari ini juga berjalan seperti biasa dengan dihadiri Menteri-menteri daripada GPS, PAS dan UMNO.

Ini menunjukkan kerajaan PN tidak jatuh seperti didakwa Anwar menerusi satu sidang media bagi mengumumkan sokongan majoriti Ahli Parlimen terhadapnya untuk memimpin kerajaan baharu.

"Tak adalah yang jatuh. Cerita ini macam cerita dongeng, buatan sahaja untuk mempengaruhi apa yang berlaku di Sabah (Pilihan Raya Negeri).

"Bagaimana kalau tak ada (sokongan Ahli-ahli Parlimen) GPS, beliau (Anwar) boleh mendakwa memperolehi sokongan hampir dua pertiga," soalnya.

Beliau menyatakan kebimbangan, tindakan Anwar dikhuatiri akan menimbulkan ketidakstabilan politik dalam negara. 

Malahan, para pelabur takut nak datang apabila dengar cerita macam ini, jelasnya.

"Anwar tidak memikirkan soal negara, rakyat dan ekonomi. Dia tak fikir benda-benda macam ini, dia fikir dia nak jadi Perdana Menteri sahaja," katanya.

Wan Junaidi menjelaskan, Anwar atau sesiapa tidak boleh meminta Yang di-Pertuan Agong melantiknya sebagai Perdana Menteri, ketika jawatan ini masih disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

"Ketika Tan Sri Muhyiddin (dilantik) ia berlaku oleh kerana Tun Dr Mahathir Mohamad dah meletak jawatan. 

"Jadi tempat itu kosong. Di bawah Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan, jelas mengatakan, Agong tiada kuasa untuk menggugurkan Perdana Menteri.

"Agong hanya berkuasa melantik Perdana Menteri apabila kosong ataupun apabila hilang kepercayaan. 

"Mana buktinya (hilang kepercayaan). Adakah (menerusi) sidang Parlimen, adakah ada usul tertentu? Tidak ada, surat sumpah (Akuan Berkanun) tak (dapat) pakai," katanya.

Berita berkaitan: 

Anwar dakwa dapat majoriti bentuk kerajaan

GPS tetap pendirian sokong Muhyiddin - Abang Johari

GPS tolak sekeras-kerasnya PKR, kekal sokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri - Nanta

  • oleh
  • Advertisement