Anda di sini

GPS tetap pendirian sokong Muhyiddin - Abang Johari

Advertisement
Abang Johari pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemimpun Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna SJK Chung Hua Serian di sini, hari ini. Turut kelihatan dua Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing (kiri) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kanan) serta yang lain. - Gambar oleh Roystein Emmor
Abang Johari pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemimpun Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna SJK Chung Hua Serian di sini, hari ini. Turut kelihatan dua Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing (kiri) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kanan) serta yang lain. - Gambar oleh Roystein Emmor

SERIAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan terus kekal menyokong kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia sama seperti yang ditegaskan GPS sebelum ini yang tetap menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“GPS tetap berada di belakang (menyokong) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan sedia ada kini.

“Perkara ini telahpun saya nyatakan juga semasa ucapan Hari Malaysia di Sibu sebelum ini bahawa kami (GPS) di belakang beliau (Muhyiddin,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa telah mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Ditanya mengenai jika terdapat Ahli Parlimen GPS yang antara menyokong Anwar dalam perkara itu, Abang Johari berkata tiada seorang ahli parlimen yang berbuat demikian.

“Tiada dari mereka..saya tidak tahu dari mana beliau (Anwar) mendapat kiraan (sokongan) berkenaan,” tegasnya.

Malahan beliau menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai pelik.

Abang Johari berkata beliau tidak tahu apa tujuan Anwar berbuat demikian iaitu pada masa Sabah juga turut mengadakan pilihan raya negeri.

Beliau pada masa yang sama turut menafikan situasi politik yang berlaku itu adalah disebabkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak dengan bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) kerajaan persekutuan menerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada Sarawak.

“Isu SST kita adalah perkara yang berbeza dengan rundingan yang sedang kita buat. Ia adalah tuntutan cukai hasil dari negeri kita dan tiada kaitan dengan rundingan,” katanya.

Sementara itu, Anwar pada sidang media hari ini berkata beliau juga telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.

“Alhamdulillah kini saya telah dapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli-ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya.

Berita berkaitan: 

Anwar dakwa dapat majoriti bentuk kerajaan

GPS tolak sekeras-kerasnya PKR, kekal sokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri - Nanta

Tiada Ahli Parlimen GPS sokong Anwar - Wan Junaidi

  • oleh
  • Advertisement