Anda di sini

Sarawak sokong penganjuran ATA 

Abdul Karim serta isterinya, Datin Zuraini Abdul Jabbar bersama Hii, Lee (empat kiri), Sim dan tetamu lain merakamkan gambar kenangan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 di BCCK malam tadi.
Abdul Karim serta isterinya, Datin Zuraini Abdul Jabbar bersama Hii, Lee (empat kiri), Sim dan tetamu lain merakamkan gambar kenangan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 di BCCK malam tadi.

KUCHING: Sarawak menyokong sepenuhnya penganjuran Anugerah Televisyen Asia (ATA) Kali Ke-23 buat julung kalinya di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia mampu menggalakkan industri pelancongan tempatan yang dilihat mempunyai potensi besar.

Tambahnya, industri pelancongan termasuk dalam insiatif transformasi digital yang dipelopori oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

“Kemeriahan acara itu sendiri menunjukkan Kerajaan Sarawak sebagai tuan rumah yang terbaik untuk bintang-bintang hiburan kelas dunia di seluruh Asia.

“Malah penganjuran ATA di negeri ini adalah selari dengan pelancaran Kempen Melawat Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Jumaat.

Antara artis yang membuat persembahan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23
Antara artis yang membuat persembahan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23

Beliau menambah, Kempen Melawat Sarawak itu juga adalah sebagai usaha kerajaan negeri mempelbagaikan ekonomi dan mendorong industri pelancongan ke arah transformasi digital.

“Bagi kita di Sarawak, kita mempunyai harapan besar dan rancangan yang hebat untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

”Setakat bulan November tahun lalu, kita menerima 4.3 juta pelancong dari seluruh dunia dan kami yakin jumlah ini dapat ditingkatkan dengan rangkaian yang baik terutama melalui pengaturan khas dengan negara lain.

“Salah satunya adalah menerusi penganjuran majlis ATA ini sebagai langkah awal untuk memperkenalkan keunikan Sarawak di mata dunia,” jelasnya.

Sementara itu, majlis turut menyaksikan sebanyak 28 daripada 42 kategori anugerah yang dipertandingkan diumumkan malam tadi dan pemenang dipilih oleh panel pakar yang terdiri daripada 50 juri terbaik di rantau Asia.

Antara artis yang membuat persembahan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23

Kira-kira lebih 50 selebriti tersohor dari negara-negara Asia termasuk Cheng Rexen, Maneerat Kum-Uan, Hu Gua, Ah Xiang, Louis Scott dan banyak lagi menghadiri majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 ini.

Hadir sama, Pengerusi ATA, Lee Keen Whye; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee; Pengarah Program, Koh Jik Seng; Penasihat Program, Sim Kiang Chiok serta tetamu kenamaan lain.