Anda di sini

ATA

Konsert ATA Ke-23 meriah di BCCK 

Persembahan oleh kumpulan K-Pop, SF9 yang dinanti-nantikan oleh penonton.
Persembahan oleh kumpulan K-Pop, SF9 yang dinanti-nantikan oleh penonton.

KUCHING: Konsert sempena Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-23 berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam Ahad.

Menampilkan barisan artis antarabangsa dari rantau Asia antaranya kumpulan remaja K-Pop, SF9 dari Korea Selatan, konsert malam tadi ternyata menghampakan tidak penonton yang hadir. 

Konsert bermula dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan pemuzik tempatan Sarawak, Pinanak Sentah dengan muzik kontemporari tradisional mereka diikuti dengan penyanyi sensasi Malaysia, Winnie K. 

Para penonton terhibur dengan persembahan oleh barisan artis pada konsert ATA di BCCK.
Para penonton terhibur dengan persembahan oleh barisan artis pada konsert ATA di BCCK.

Persembahan malam tadi bertambah rancak dengan kemunculan kumpulan K,-Pop, SF9 yang dianggotai sembilan jejaka tampan dari Korea Selatan. 

Kemunculan SF9 adalah antara yang dinanti-nantikan oleh penonton yang hadir yang kebanyakan terdiri dalam kalangan muda remaja. 

Persembahan diteruskan lagi oleh penyanyi Via Vallen dari Indonesia dan Trong Hien dari Vietnam serta Qu Wan Ting. 

Aksi Trong Hien dari Vietnam
Aksi Trong Hien dari Vietnam

Sebelum konsert berakhir, penyanyi Malaysia yang juga pelakon, Alvin Chong tampil dengan tiga buah lagi dalam pelbagai bahasa, Mandarin, Inggeris dan Melayu. 

Tirai konsert malam tadi ditutup dengan persembahan bertenaga oleh penyanyi Gary dan Kiara dari Filipina. 

ATA Ke-23 berlangsung dari 11 hingga 13 Januari 2019 di BCCK dan dihadiri barisan artis dan penggiat industri media  dari pelbagai negara dalam rantau Asia. 

 

JTBC, Formosa ungguli ATA Ke-23

Wakil Formosa Television, Taiwan menerima Anugerah bagi kategori Penyiar Terestrial Terbaik daripada Abang Johari (tengah) yang turut disaksikan Dewi (kanan).
Wakil Formosa Television, Taiwan menerima Anugerah bagi kategori Penyiar Terestrial Terbaik daripada Abang Johari (tengah) yang turut disaksikan Dewi (kanan).
Persembahan Kumpulan SF9 dari Korea Selatan yang begitu mengujakan.
Persembahan Kumpulan SF9 dari Korea Selatan yang begitu mengujakan.

KUCHING: Rangkaian televisyen kabel am JTBC dari Korea Selatan dan Formosa Televisyen dari Taiwan masing-masing mengungguli kategori Rangkaian Kabel & Satelit Terbaik dan kategori Penyiar Terestrial Terbaik pada Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-23 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Sabtu.

Kedua-dua anugerah itu disampaikan oleh Ketua Menteri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang turut didampingi Miss World Talent (Miss World 2014) Dewi Liana Seriestha. 

Majlis turut menyaksikan Cheng Rexen, 36 tahun bersama Kim Nam Joo, 48 tahun dinobatkan, masing-masing sebagai Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik.

Aktor dari Taiwan itu menerima anugerah kerana lakonannya dalam Schrodinger’s Cat sementara aktres dari Korea Selatan itu pula meraih anugerah kerana lakonannya sebagai Go Hye-ran dalam Misty.

Sementara itu, Jirayu Tantrakul dari Thailand menerima anugerah Aktor Terbaik sebagai Pelakon Pembantu dalam KOM FAEK (The Lost Art) dan Sinjai Plengpanich (Thailand) dinobatkan Aktres Terbaik sebagai Pelakon Pembantu kerana lakonannya dalam Ayodhaya. 

Penerima lain yang merangkul anugerah ialah Something In The Rain (Korea Selatan) bagi Siri Drama Terbaik; Kurara: The Dazzling Life of Hokusai’s Daughter (Jepun) bagi Drama Tunggal Terbaik atau Program Telemovie.

Lebih 50 selebriti terkemuka Asia menghadiri majlis itu dan antaranya ialah Derek Chun, James Kumar, Ase Wang, Maylada Susri, Maneerat Kum-Uan, Hu Gua, Ah Xiang, Louis Scott, Ray Macdonald, Jirayu Tantrakul dan Hoang Yen Shibi. 

ATA disiarkan secara langsung di 22 negara menerusi KBS, NHK, HBO, CNN, Bloomberg, BBC, AL-JAZEERA, TV18, Discovery Networks, Imagine Group, Viacom International Media Networks, Astro, Media Prima, PT Televisi Indonesia , Mediacorp, CGTN, PCCW, Formosa, ABS-CBN, BBTV, SMG dengan anggaran lebih 500 juta isi rumah yang menyaksikannya di seluruh Asia Pasifik.

Antara tetamu undangan dalam industri televisyen dengan lebih 300 delegasi antarabangsa yang terdiri daripada penerbit filem, pengarah, penghibur, penaja utama, calon dan selebriti dari negara yang mengambil bahagian di seluruh Asia.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri.
 

Sarawak lokasi terbaik bagi penganjuran festival filem 

(dari kiri) Lam, M.L. Rudeejanok, Dorothy, Adam, Dr Punchi dan Kim pada sidang media  di Kuching hari ini sempena ATA Ke-23.
(dari kiri) Lam, M.L. Rudeejanok, Dorothy, Adam, Dr Punchi dan Kim pada sidang media di Kuching hari ini sempena ATA Ke-23.

KUCHING: Sarawak berpotensi untuk dijadikan sebagai lokasi bagi penganjuran festival filem bagi penggiat industri perfileman khususnya dalam rantau Asia. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Creative Media Agency, Adam Ham berkata penganjuran festival filem memerlukan perbelanjaan yang tinggi terutama di bandar-bandar mewah seperti Cannes. 

Malah katanya kos untuk menganjurkan festival filem di Singapura sahaja sudah semakin mahal berbanding di Tokyo, Jepun. 

 “Bagi mereka yang masih baru dalam industri ini termasuklah  rakan-rakan produksi kita dari Vietnam misalnya, mereka mungkin tidak mampu untuk menyertai festival seperti ini. 

“Tetapi Sarawak adalah penyelesaian untuk  pemilihan lokasi bagi penganjuran festival filem bertaraf antarabangsa pada kos yang lebih berpatutan,” katanya pada sidang media bersama wakil-wakil syarikat produksi yang menyertai Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-23 di sini hari ini. 

Antara yang hadir pada sidang media tersebut, CEO Thaitv3 M.L. Rudeejanok Kritakaran dari Thailand, Presiden Farmosa Media, Dorothy M. Hung (Taiwan), Naib Presiden JTBC, Kim Yongdal (Korea Selatan), Presiden Cignal TV, Jane Jimenez dari Filipina dan juri ATA dari Sri Lanka, Dr Punchi Nilame Meegawatte. 

Pada sidang media tersebut, wakil-wakil syarikat produksi yang menyertai ATA di Kuching turut berkongsi keterujaan mereka dengan keindahan  pemandangan di sekitar bandaraya Kuching ini. 

Pengerusi Eksekutif Today TV dari Vietnam, Lam Chi Thien berkata ini merupakan pengalaman pertama beliau ke Kuching dan beliau amat menyukai bandar raya ini yang begitu tenang dan indah. 

“Saya sangat suka bandar ini dan saya berharap dapat menerokai lebih mendalam bandar raya bagi kerjasama dalam industri media ini,” katanya. 

Sementara itu, M.L. Rudeejanok berkata beliau amat menyukai bandaraya ini yang begitu tenang tidak seperti di Bangkok yang sentiasa sibuk dengan manusia dan kenderaan. 

Malah katanya, krew syarikat produksinya sudah berada di bandar ini sejak Jumaat lepas bagi melihat lokasi yang sesuai bagi pembikinan filem dan drama bersiri Thailand. 

Dr Punchi turut berkongsi keterujaannya terhadap bandar raya ini yang begitu mempesonakan di mata beliau. 

“Kita tidak akan jumpa tempat seperti Kuching ini dalam Asia. Saya amat menyukai bandar ini dan ia dapat memberi ruang kepada penggiat industri untuk menghasilkan karya mereka,” katanya. 

Sarawak sokong penganjuran ATA 

Abdul Karim serta isterinya, Datin Zuraini Abdul Jabbar bersama Hii, Lee (empat kiri), Sim dan tetamu lain merakamkan gambar kenangan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 di BCCK malam tadi.
Abdul Karim serta isterinya, Datin Zuraini Abdul Jabbar bersama Hii, Lee (empat kiri), Sim dan tetamu lain merakamkan gambar kenangan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 di BCCK malam tadi.

KUCHING: Sarawak menyokong sepenuhnya penganjuran Anugerah Televisyen Asia (ATA) Kali Ke-23 buat julung kalinya di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia mampu menggalakkan industri pelancongan tempatan yang dilihat mempunyai potensi besar.

Tambahnya, industri pelancongan termasuk dalam insiatif transformasi digital yang dipelopori oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

“Kemeriahan acara itu sendiri menunjukkan Kerajaan Sarawak sebagai tuan rumah yang terbaik untuk bintang-bintang hiburan kelas dunia di seluruh Asia.

“Malah penganjuran ATA di negeri ini adalah selari dengan pelancaran Kempen Melawat Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Jumaat.

Antara artis yang membuat persembahan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23
Antara artis yang membuat persembahan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23

Beliau menambah, Kempen Melawat Sarawak itu juga adalah sebagai usaha kerajaan negeri mempelbagaikan ekonomi dan mendorong industri pelancongan ke arah transformasi digital.

“Bagi kita di Sarawak, kita mempunyai harapan besar dan rancangan yang hebat untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

”Setakat bulan November tahun lalu, kita menerima 4.3 juta pelancong dari seluruh dunia dan kami yakin jumlah ini dapat ditingkatkan dengan rangkaian yang baik terutama melalui pengaturan khas dengan negara lain.

“Salah satunya adalah menerusi penganjuran majlis ATA ini sebagai langkah awal untuk memperkenalkan keunikan Sarawak di mata dunia,” jelasnya.

Sementara itu, majlis turut menyaksikan sebanyak 28 daripada 42 kategori anugerah yang dipertandingkan diumumkan malam tadi dan pemenang dipilih oleh panel pakar yang terdiri daripada 50 juri terbaik di rantau Asia.

Antara artis yang membuat persembahan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23

Kira-kira lebih 50 selebriti tersohor dari negara-negara Asia termasuk Cheng Rexen, Maneerat Kum-Uan, Hu Gua, Ah Xiang, Louis Scott dan banyak lagi menghadiri majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 ini.

Hadir sama, Pengerusi ATA, Lee Keen Whye; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee; Pengarah Program, Koh Jik Seng; Penasihat Program, Sim Kiang Chiok serta tetamu kenamaan lain.