Anda di sini

Rabies: Sarawak, KKM sedia kerjasama dengan Indonesia

Advertisement
 

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes seorang wanita warganegara Indonesia mati disebabkan rabies, namun kes itu tidak dimasukkan ke dalam statistik wabak itu di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) menerusi kenyataan akhbarnya semalam berkata ini kerana pesakit itu digigit oleh anjing peliharaannya sendiri di negara asalnya.

Katanya, notifikasi kes ini kepada Kementerian Kesihatan Indonesia telah dibuat melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point Malaysia-Indonesia.

"Kerajaan Negeri Sarawak bersama-sama dengan KKM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi-agensi lain sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengawal rabies dalam kalangan anjing, khususnya di sempadan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kawalan jangkitan rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Borneo yang diterbitkan pada 17 Disember bertajuk 'Mangsa rabies Indonesia mati di Kuching'.

Dr Noor Hisham berkata wanita berkenaan, 69 tahun yang tinggal di Sanggau, Indonesia digigit di kaki kirinya oleh anjing peliharaannya pada  September 2018.

"Semasa kejadian, haiwan tersebut berkelakuan agresif dan abnormal (tidak normal) menggigit tuannya tanpa sebarang provokasi.

"Pesakit telah mendapatkan rawatan di Indonesia. Namun begitu, perincian rawatannya itu tidak dapat disahkan," katanya.

Dr Noor Hisham menambah,pada 9 Disember 2018, mangsa mengadu sakit belakang badan dan sukar berjalan dan kemudian mendapatkan rawatan lanjut sebanyak dua kali di fasiliti perubatan di Indonesia.

Pada 13 Disember 2018, keadaan pesakit bertambah teruk dan beliau kemudiannya dibawa ke sebuah hospital swasta di Kuching, Sarawak, jelasnya.

"Pada keesokan hari, keluarga pesakit telah memindahkannya ke sebuah hospital swasta lain di Kuching. Pesakit mula menunjukkan gejala neurologi yang teruk seperti kekeliruan, lemah kedua-dua kaki dan tidak boleh menelan. 

"Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi namun malangnya telah meninggal dunia pada 17 Disember 2018 jam 6.00 pagi. Keputusan ujian makmal yang diterima pada 18 Disember 2018 adalah positif rabies," ujarnya.

"Kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 18 Disember 2018 adalah kekal 16 kes termasuk 15 kematian.

"Kes terakhir disahkan rabies adalah pada 10 Disember 2018," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement