Anda di sini

Berhenti Memberi Alasan Dan Mulakan Dengan Langkah Pertama

Advertisement

Setiap kali saya melibatkan diri dengan para pelajar, golongan profesional, pengurus kanan dan ketua pegawai eksekutif, saya sering teruja dengan semangat dan kesungguhan yang ditonjolkan demi memajukan diri dan membuat perubahan di dunia.

Namun, ada juga ketika di mana saya akan bertemu dengan seseorang yang agak kurang bersemangat tentang matlamat hidup sendiri. Nah, artikel ini ditulis untuk golongan yang sebegini. Mereka inilah yang akan memberitahu saya perkara seperti berikut:

“Bagaimana jika saya tak ingin menjadi pemimpin?”, “Kenapa semua orang kata saya perlu berjaya – tak bolehkah saya gembira di mana saya berada sekarang?”, “Saya tak mahu mengubah dunia, saya agak gembira bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang dan meninggalkan kerja di pejabat.” dan sebagainya.

Bagi setiap interaksi tersebut, ini respons ringkas saya:

“Anda tak perlu menjadi pemimpin – jadilah apa sahaja yang anda ingini”, “Anda tak perlu mendengar kata-kata orang lain; kalau anda betul-betul gembira di mana anda berada, anda bebas untuk terus melakukannya”, dan “Siapa yang bercakap tentang mengubah dunia?”

Pada mulanya, apabila komen sedemikian dikemukakan, saya akan memberi respons dan terus menganggap perbincangan itu sudah tamat. Tetapi, selalunya perbualan itu akan bertambah rancak.

Kadang-kadang saya terfikir orang itu seolah-olah mengharapkan saya mencuba untuk meyakinkan yang mereka sepatutnya menjadi pemimpin, atau mereka patut mempunyai cita-cita yang lebih tinggi, atau cukup dengan memberitahu yang kehidupan mereka sekarang adalah apa yang mereka inginkan selama ini.

Fahamilah maksud saya ini. Jika anda benar-benar gembira di mana anda berada, anda harus teruskannya. Tiada sesiapa yang patut membuat anda berubah. Ada sebab mengapa ia digelar kehidupan ‘anda’.

“SESUATU KEJAYAAN ITU TERCAPAI APABILA SESEORANG ITU MELAKUKAN APA YANG DIINGINI DARI MULA SAAT DIA BANGUN PAGI HINGGALAH DIA MASUK TIDUR PADA MALAM HARINYA.” – BOB DYLAN

Mulakan sesuatu

Yang menariknya, dalam hampir setiap perbualan, jelas sekali orang itu mahukan lebih lagi, mereka mahu mendorong diri, dan terdesak untuk memberi sumbangan yang lebih daripada yang telah dibuat.

Sebenarnya, ramai yang tidak tahu di mana hendak bermula. Itulah sebabnya mereka menggubah sebuah kisah dalam minda mereka yang digunakan untuk mempertahankan pendapat serta meyakinkan diri yang mereka cukup gembira dengan kehidupan mereka.

Ketika perbualan menjadi semakin rancak, namun sedikit demi sedikit ia membawa kepada persoalan: “OK, katalah saya hendak memajukan diri saya dan buat lebih daripada yang saya buat sekarang, bagaimana sebenarnya saya patut bermula?”

Sebenarnya, mereka telah pun menjawab soalan sendiri. Tetapi, saya nyatakan juga, manalah tahu ‘kan? Saya katakan “Anda mulakan”.

Air muka mereka bertukar pula menjadi binggung, lantas saya terpaksa menerangkan maksud kata-kata nasihat yang diberi.

Lakukan apa yang mencabarkan

Masa saya muda dahulu, saya tidak pandai menjual. Tidak pandai langsung!

Tetapi saya tahu ia satu kemahiran yang saya perlu ada. Jadi, bagaimana saya menjadi lebih baik dalam jualan? Adakah dengan membaca buku? Menyertai seminar? Bercakap dengan mereka yang pakar dalam seni jualan? Pasti. Tetapi ini semua tidak membawa saya ke mana-mana.

Jadi, saya pun berkata pada diri, “Aku kena mulakan.” Bermula dari situlah saya menjual dari rumah ke rumah dan mengasah bakat saya.

SAYA MULA MEMAHAMI SEGALA YANG SAYA PELAJARI SELEPAS SAYA MULA MENJUAL. SAYA MENJADI JURUJUAL YANG LEBIH BAIK KERANA SAYA MULA MENJUAL.

(Sebagai nota tepi, saya pernah menjual pisau dari rumah ke rumah pada usia 18 tahun semasa menuntut di kolej di Amerika Syarikat. Ya, sudu, garpu dan pisau. Dan ya, saya benci membuatnya. Tetapi saya berhenti kerja hanya selepas saya dinamakan jurujual terbaik bulanan, hanya untuk membuktikan kepada diri sendiri yang saya boleh lakukannya.)

Anda yang membuat keputusan

Bagai tersentak dari lamunan apabila tersedar bahawa masa tidak akan menunggu kita. Tiada saat yang tepat. Tiada sesiapa boleh berkembang bagi pihak diri anda.

ANDA YANG BERTANGGUNGJAWAB DAN ANDA ADA DUA PILIHAN – ANDA BOLEH KELUAR DAN SAMBAR PELUANG YANG ADA ATAU ANDA BOLEH LEPAK DAN BIARKAN ARUS KEHIDUPAN MEMBAWA ANDA KE MANA SAHAJA. CARA APA PUN YANG DIPILIH, ANDA YANG MENENTUKANNYA.

Sekali lagi, jika anda gembira dengan kehidupan sekarang, baguslah. Mungkin ada orang yang ingin meyakinkan anda bahawa anda patut menjadi itu atau ini, tetapi anda patut dipuji kerana anda berada di tempat yang anda ingini dan kekal di situ.

Apabila saya ditanya: “Bagaimana anda meyakinkan orang lain untuk membeli produk anda jika mereka menentang?” Saya katakan: “Jangan begitu. Jika seseorang itu tidak perlukan apa yang ditawarkan, cari orang lain yang memerlukannya. Jangan bazirkan masa anda atau masa orang lain.”

Tetapi sekiranya anda sering dihujani dengan idea untuk perniagaan; jika anda mahu belajar kemahiran baharu; jika anda hendak belajar semula untuk mendapatkan ijazah itu; sekiranya anda ingin membuat perubahan lebih daripada yang dilakukan sekarang, tolonglah berhenti membohongi diri sendiri yang anda tidak layak melakukan apa-apa, dan memadai dengan bersyukur dengan apa yang ada. Mulakannya.

Semua dalam tangan anda

Jika anda seorang introvert yang gerun membina rangkaian tetapi ingin berhubung dengan orang lain? Mulakannya..

Sertailah sebanyak mana acara, perjumpaan dan majlis dan bercakap dengan orang lain. Adakah ia sukar? Tentulah.

Begitu juga dengan menjual barangan dari rumah ke rumah, tetapi anda belajar banyak perkara dan menjadi lebih yakin apabila meletakkan diri di luar zon selesa.

Mungkin anda punya idea untuk perniagaan tetapi tidak pasti di mana harus bermula? Mulakannya.

Baca tiga buah buku tulisan pakar dalam bidang yang anda minati; berhubung dengan mereka yang relevan kepada perniagaan anda melalui media sosial, libatkan diri dengan mereka dan tambah nilai pada perhubungan itu; bertanya soalan; ajak beberapa orang pemimpin industri untuk makan tengah hari dan minta pandangan mereka.

BERMULA DARI BAWAH DAN JANGAN PUTUS ASA SEHINGGA ANDA TIBA KE PUNCAK PERIBADI ANDA.

Ingat, kejayaan bukanlah kemuncak segala-galanya. Warren Buffett belum berjaya. Bill Gates belum berjaya. Oprah Winfrey belum berjaya. Kejayaan mereka masih berterusan. Sentiasa.

Nilai bersih Warren Buffett adalah lebih daripada AS$75 bilion. Dia masih bekerja kuat, menolak sempadan baharu, terus belajar dan membuat perubahan. Dan dia kini sudah lewat 80 tahun lebih!

Akhir kata

Apa sahaja perkara yang mendesak, yang membuatkan anda rasa hidup — burulah ia dengan apa cara sekalipun. Ketakutan yang ditempuhi hanyalah pembohongan terbesar yang pernah kita dengar. Langkaui kepercayaan yang membataskan dan mulakan saja.

Kita akan tersadung, jatuh dan belajar sepanjang kembara hidup kita. Tetapi dalam perjalanan inilah, kita akan menemukan pengajaran paling berharga, mencapai matlamat yang telah kita rancangkan.

Bacalah semua buku yang anda boleh, berbual dengan pakar, sertai persidangan – ini semua adalah sumber yang sangat berharga.

Tetapi jangan lupa bahawa pembelajaran yang paling berharga adalah apabila kita melakukan setiap sesuatu. Itu tidak akan berubah.

Sumber