Anda di sini

Jangan Jadi Yang Biasa-Biasa. Jadi Yang Terbaik

Beberapa bulan lepas, saya terbaca buku Malcolm Gladwell yang bertajuk David & Goliath. Ia memuatkan serba-serbi cerita bagaimana pasukan atau perniagaan yang bukan pilihan berjaya menundukkan lawan yang lebih hebat.

Tatkala memikirkan segala macam punca kehancuran syarikat gergasi, saya terjumpa sebab utama kegagalan organisasi besar.

Setiap syarikat, termasuk syarikat gergasi, bermula secara kecil-kecilan, misalnya Microsoft dan Google. Dalam masa beberapa tahun, mereka berkembang maju, mengecapi kejayaan dan mampu memperbesar perniagaan. Mereka berusaha begitu gigih hinggakan dapat melumpuhkan pemain-pemain besar dalam industri teknologi.

Malah, kebanyakan individu hebat juga bermula secara kecil-kecilan. Mereka bukan hebat sejak azali. Individu-individu ini bekerja keras, berkembang maju, gagal, cuba dengan lebih gigih dan perlahan-lahan membina legasi.

Apabila kita meneliti kembali jejak langkah pemimpin dan syarikat yang hebat, semuanya bermula dengan azam ingin menjadi lain daripada lain, lebih cemerlang dan luar biasa. Tanpa menghiraukan saiz, mereka memperlihatkan komitmen untuk menjadi yang terhebat. Mereka berusaha keras menjalankan perniagaan dengan berfikir, bertindak dan nampak lain daripada yang lain.

Lambat-laun mereka berjaya mengalahkan jaguh dalam industri. Jadi, apa masalah sebenar jaguh dan gergasi ini? Apakah faktor kejatuhan mereka? Kebanyakan daripada mereka menjadi sambil lewa. Mereka kecundang kerana perniagaan berserta kakitangan mereka mula selesa dengan suasana biasa apabila perniagaan mereka semakin berkembang dan perlu diperbesar.

Rasa biasa-biasa merupakan penyakit yang perlahan-lahan menjadi barah bagi sesuatu kejayaan. Sangat senang untuk menjadi biasa.

Perniagaan yang biasa-biasa

Perniagaan yang biasa-biasa ada di mana-mana. Daripada perkhidmatan di bank, menerima layanan di restoran, sehinggalah berbual dengan wakil pelanggan melalui telefon, gejala biasa-biasa begitu lazim sekali di Malaysia.

Beberapa minggu lepas, sewaktu menyelak helaian akhbar bersama isteri, kami ternampak iklan teruk yang dihasilkan sebuah syarikat pengiklanan terkemuka. Saya menunjukkannya kepada isteri. Dia tersenyum sinis lalu berkata, “Ya, syarikat besar tak ada masa nak ambil kisah benda picisan seperti iklan.”

Menjadi biasa adalah pilihan. Mentaliti biasa inilah yang menyebabkan syarikat gergasi terjerumus dalam kebinasaan. Mengikut Gladwell, gergasi seperti Goliath digeruni ramai bukan disebabkan kehebatannya bertempur tetapi kerana saiznya. Bahkan, Gladwell mendakwa Goliath mungkin cacat penglihatan sedikit. Dia hanya pejuang yang biasa-biasa, yang terlepas dengan kemenangan atas sebab saiznya yang gergasi.

Dalam dunia perniagaan, kita dapat melihat betapa banyak syarikat dan organisasi yang ‘menang’ bukan atas sebab produk dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah lebih baik, tetapi hanya disebabkan skala dan saiz.

Kemudian muncullah ‘David’, yang merupakan pejuang yang lebih bagus lalu mengubah peraturan perlawanan dengan menggunakan tarbil batu, bukannya pedang. Goliath yang biasa-biasa itu langsung tidak terdaya mengalahkan seorang pejuang gagah yang bijak (biarpun kecil).

Hal yang sama menimpa syarikat besar apabila terlalu selesa bergiat dalam gelanggang kesederhanaan. Apabila berhadapan lawan yang lebih kecil tetapi lebih cemerlang, lain daripada yang lain dan luar biasa dalam pelaksanaan kerja, syarikat besar itu tidak mampu mengungguli perlawanan dalam jangka masa panjang.

Anatomi biasa-biasa

Beberapa bulan lepas, saya terjumpa ‘puisi’ perihal kesederhanaan karya AJ Leon. Puisi itu bertajuk Anatomy of Average yang menggambarkan dengan tepat situasi manusia yang sederhana.

“Yang biasa-biasa asyik mencari-cari penerimaan ‘yang pakar’.

Yang biasa-biasa menanti kajian yang secukupnya untuk membuktikan sesuatu perkara itu berbaloi dilakukan, maka mereka terlambat dalam segenap perkara.

Yang biasa-biasa mengelak sebarang dan apa-apa risiko, lalu menghindarkan diri daripada cabaran dan kegagalan (dua pendekatan pembelajaran yang terbaik di dunia).

Yang biasa-biasa mengagung-agungkan perubahan sedikit demi sedikit kerana takutkan revolusi.

Yang biasa-biasa kecut perut.

Yang biasa-biasa membuat keputusan bagaikan ‘rumah siap, pahat berbunyi’ sebagai helah menyembunyikan ketakutan dan mengelak daripada tanggungjawab.

Yang biasa-biasa berfokus mengendalikan sungutan daripada melaksanakan kerja pada tahap luar biasa.

Guru yang biasa-biasa memastikan pelajar tidak mampu menandingi mereka.

Badan kebajikan yang biasa-biasa bertumpu mengorek wang daripada poket anda, bukannya cuba menyentuh hati.

Restoran yang biasa-biasa selalu dilupakan sebaik sahaja kita bangun dari meja makan.

Yang biasa-biasa bertindak atas dasar takut, namun mereka meyakinkan diri ini adalah sikap berjaga-jaga.

Yang biasa-biasa selesa untuk tidak mempertahankan apa-apa supaya boleh mengelak daripada sebarang serangan.

Yang biasa-biasa sangat kecut perut dengan manusia pelik, seperti anda dan saya sendiri.

Yang biasa-biasa tidak pernah memimpin. Lebih penting, yang biasa-biasa hanya biasa-

Mengatasi daripada menjadi biasa-biasa

Jadi, bagaimana untuk menghindarkan diri daripada menjadi si polan biasa? Cuba bayangkan, matlamat anda adalah untuk membesarkan anak-anak yang cemerlang. Bagaimana untuk mengelak daripada perangkap ‘kesederhanaan’ yang membiarkan mereka menjadi seperti budak lain yang ‘biasa-biasa’?

Pertama, sematkan dalam diri bahawa anda tidak akan jadi ibu bapa yang biasa-biasa. Ibu bapa yang biasa-biasa akan membesarkan anak-anak yang sederhana sahaja. Menghasilkan anak yang cemerlang memerlukan anda menjadi cemerlang terlebih dahulu.

Kedua, tulis komitmen untuk menjadi yang terhebat. Bulatkan tekad untuk mencapai matlamat ini dan pastikan anda percaya bahawa anda mampu membesarkan seorang anak yang bukan sahaja bagus tetapi hebat.

Ketiga, tulis perkara yang perlu anda lakukan untuk mencapai tahap yang bertaraf dunia. Senaraikan semua aspek untuk menjadi yang terhebat.

Akhir sekali, tulis perkara yang melibatkan tindakan supaya pelaksanaan dalam senarai tersebut direalisasikan. Anda boleh mengguna pakai proses yang sama untuk memastikan kesederhanaan terlempar jauh menjadi kenangan lama.

Sukar untuk menjadi hebat

Setiap hari saya bekerja keras untuk memastikan setiap ahli organisasi saya tidak pernah puas berada pada tahap sederhana. Kesederhanaan merupakan sebab sesuatu organisasi mula goyah dan di Leaderonomics, saya berdoa supaya kami tidak akan melalui fasa sebegini. Menjadi biasa-biasa merupakan perangkap yang mudah untuk kita terjerumus masuk. Dan sebaik sahaja penyakit ‘sederhana’ mula merebak dalam sesebuah organisasi, amat payah untuk dibanterasnya.

Sebahagian daripada masalah yang dihadapi adalah sangat payah untuk menjadi luar biasa dan lain daripada yang lain. Anda akan berhadapan dengan pelbagai onak duri dalam perjalanan menjadi yang terhebat. Anda perlu meredah rintangan yang melanda dan mengatasinya. Inilah punca utama mudah untuk menjadi sederhana namun sukar untuk menjadi yang terhebat. Jika menjadi yang terhebat senang dilakukan, tidak ada sesiapa yang kekal berada dalam kesederhanaan.

Walaupun masa silam anda penuh dengan hal yang biasa-biasa, ini tidak sepatutnya menghalang anda daripada mengubah masa hadapan anda. Setiap pagi anda memperoleh peluang baharu untuk memilih menjadi yang terbaik atau sekadar biasa-biasa. Berjuanglah dengan gigih setiap hari untuk menjadi yang luar biasa.

Akhir kata

Jangan mudah terpedaya dengan pemikiran bahawa ia adalah bagus untuk menjadi biasa-biasa. Kesederhanaan adalah untuk manusia biasa. Anda boleh menjadi lebih bagus daripada ini. Anda insan luar biasa. Anda lain daripada yang lain. Anda bukan si polan biasa. Ingat, untuk menjadi biasa-biasa, ini pilihan anda. Ia bukannya suratan takdir. Malah, 95% daripada benda yang anda bentuk dalam diri boleh dipelajari. Jadi, kita mampu mendesak diri untuk menjadi yang terbaik.

Sumber