Anda di sini

Suri teladan penting untuk memenuhi potensi kepimpinan

Advertisement
 

Setiap malam anak lelaki saya akan mendesak saya untuk membaca sebuah cerita untuknya. Baru-baru ini, saya membacakannya cerita Ugly Duckling oleh Hans Christian Anderson.

Ia sebuah cerita yang simpel yang bermula apabila sebiji telur angsa secara tidak sengaja ditinggalkan di dalam sarang seekor itik.  Anak angsa itu menghabiskan zaman pembentukannya dikelilingi oleh itik-itik sehingga ia pun berkelakuan dan bertindak seperti seekor itik.

Tetapi nasibnya berubah apabila pada suatu hari ia ternampak sekumpulan angsa terbang tinggi di atasnya dan wawasan hidupnya berubah secara dramatik.

Ia memerhati suri teladannya yang baharu (angsa-angsa putih) dan bercakap dengan mereka.  Tidak lama kemudian, ia menyedari bahawa ia mempunyai kebolehan untuk terbang. Dan cerita itu berakhir dengan itik hodoh berubah menjadi  angsa yang cantik di persekitaran baharunya dengan angsa-angsa yang lain.

Keselarian cerita dengan dunia bisnis

Semasa saya membaca cerita ini, saya melihat keselariannya dalam banyak bisnis dan organisasi yang mengambil gaji bakat-bakat yang berpotensi tinggi. Tetapi masalahnya adalah ramai di kalangan bakat-bakat berpotensi tinggi ini akhirnya tidak dapat memenuhi potensi mereka sebagai "angsa-angsa yang cantik." Mengapa?

Biasanya, masalah utama dalam pelbagai organisasi bukannya disebabkan oleh kekurangan bakat-bakat berpotensi tinggi; masalahnya ialah organisasi berkenaan tidak mempunyai cukup suri teladan “angsa” yang boleh memberikan bakat-bakat berpotensi tinggi semangat untuk terbang.

Setiap pemimpin yang hebat mempunyai seorang suri teladan yang membantu mereka membayangkan diri mereka pada masa hadapan dan menyedari bahawa impian serta matlamat mereka boleh dipenuhi. Contohnya, 

  • Bill Gates pernah bercakap tentang "Bob Gruen, Dick Russell dan seorang lelaki bernama Weir" yang menjadi suri teladannya dan membuatkannya berasa teruja tentang komputer semasa dia berada di bangku sekolah.
  • Helen Keller, ketika berumur 19 bulan, mengalami "kesesakan akut perut dan otak" yang menyebabkannya menjadi pekak dan buta. Walau bagaimanapun, dia mendapat inspirasi daripada suri teladannya, Anne Sullivan, yang mencabarnya untuk mencapai kehebatan. 
  • Nelson Mandela memberikan penghargaan kepada bapa angkatnya, KetuaJongintaba, sebagai sumber pengajaran kepimpinannya, kerana dia memerhati bagaimana bapa angkatnya berinteraksi dengan puaknya.

Berikut adalah beberapa ciri utama seorang suri teladan yang berkesan:

#1. Suri teladan bertindak lebih daripada bercakap

Pepatah yang berbunyi "epal tidak jatuh jauh dari pohonnya" juga dapat digunakan bagi syarikat anda. Robert Galvin, salah seorang pemimpin terawal di Motorola, menjadi seseorang yang “ditiru” oleh pekerja-pekerja di Motorola.

Sebagai seorang suri teladan yang dicontohi, kepimpinannya yang “ditiru” membawa banyak kejayaan kepada Motorola pada tahun 80-an.

Lebih daripada 75 peratus pekerja muda yang ditinjau selidik berkata bahawa suri teladan mereka adalah orang yang mereka kenali - pengurus dan atasan langsung, ahli keluarga, rakan-rakan dan pemimpin masyarakat.

Tidak kira betapa hebatnya Richard Branson atau Jack Welch, selalunya andalah yang memberi pengaruh yang lebih besar terhadap pertumbuhan dan pembangunan pekerja anda melebihi apa yang dapat dilakukan oleh Branson atau Welch.

Orang belajar lebih banyak daripada tindakan-tindakan kita berbanding dengan apa yang kita katakan.

#2. Suri teladan memimpin melalui contoh

Beberapa tahun yang lalu, sebuah organisasi besar meminta bantuan untuk memastikan para pekerja mereka memberikan tumpuan terhadap program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Ketua pegawai eksekutif organisasi ini menggunakan setiap peluang yang ada untuk berulang kali menekankan betapa pentingnya mereka melibatkan diri dalam CSR. Namun, sukar sekali untuk mendapatkan para pekerja menyertai acara CSR.

Saya bertanya kepada pemimpin CSR: "Adakah ketua pegawai eksekutif kamu sendiri menghadiri acara CSR?"

Dia cuba bercerita panjang tentang betapa sibuknya ketua pegawai eksekutif itu.  Saya segera mengenal pasti punca isu yang dihadapi mereka -- pekerja mencontohi tingkah laku pemimpin, bukan apa yang dikatakannya.

#3. Suri teladan mengotakan apa yang dikatakan

Suri teladan bukan sahaja "berkata apa yang dikatakan" tetapi juga "melakukan apa yang dikatakan". Pada tahun 1997, tiga orang pekerja Starbucks terbunuh dalam suatu rompakan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Howard Schultz segera menaiki kapal terbang dan menghabiskan minggu itu bersama dengan pekerja-pekerja serta ahli keluarga mereka yang terlibat.  

Belas kasihan Schultz dan kepimpinannya yang luar biasa membantu meredakan masyarakat di sana. Howard telah banyak kali berkata Starbucks adalah sebuah syarikat masyarakat dan tindakannya ini telah membuktikan kesahihan apa yang dikatakannya. Para pemimpin Starbucks di seluruh dunia pun mula mencontohinya dan kepercayaannya bahawa tenaga kerja amat bernilai di Starbucks.

#4. Suri teladan menjadi contoh

Suri-suri teladan adalah orang yang ditiru, dicontohi dan dicari ketika orang memerlukan bimbingan. Bagaimana Costco berkembang menjadi bisnis runcit yang berjaya?

Ini adalah kerana setiap orang dalam organisasi itu meneladani Ketua Pegawai Eksekutif Jim Sinegal dan sikap rendah dirinya. Semua orang merujuk kepadanya sebagai "Jim”.  Dia menjawab telefonnya sendiri, dan mempunyai sebuah pejabat “terbuka” (tiada dinding).  

Dia menetapkan gaji yang sederhana untuk diri. Kontrak kerjanya hanya satu muka surat termasuklah satu bahagian yang menggariskan bagaimana dia boleh diberhentikan perkhidmatan sekiranya dia tidak melakukan kerja yang patut dilakukannya.

Kadar pusingan ganti pekerja Costco adalah 5 kali lebih rendah daripada Walmart.  Sikap dan sifat Sinegal sangat disayangi dan ditiru oleh para pekerja Costco.

#5. Suri teladan menggalakkan

Suri teladan membuat perbezaan sama ada anda mirip itik atau angsa. Bintang NBA Yao Ming mungkin sahaja berakhir sebagai "itik" yang gagal jika bukan kerana seorang suri teladan.

Yao Ming menghadapi banyak kesukaran ketika dia mula-mula bergelut di NBA dengan ramai 'pakar' yang meramalkan bahawa dia akan gagal, termasuk ejekan-ejekan daripada Shaquille O'Neil dan Sir Charles Barkley. Pihak media juga berfikir bahawa Yao Ming merupakan satu kelucuan besar. Bagaimana Yao memberi respons kepada semua ini?

Yao mempunyai seorang suri teladan yang memiliki sikap tidak pernah putus asa, yang percaya pada kerja keras. Yao Ming memerhatikan ketabahan suri teladannya dan secara senyap-senyap melalui kerja keras dan persembahannya yang hebat , dia berjaya membisukan pengkritik-pengkritiknya. Dia tidak terasa kesan kritikan pengkritiknya.

Apabila suri teladan menunjukkan keyakinan yang kukuh terhadap sesuatu, dia memberi inspirasi kepada orang lain untuk berusaha ke arah wawasan pemimpin tersebut, walaupun dalam situasi yang malap.

#6. Suri teladan adalah mereka yang kita kenali

Secara umumnya, suri teladan yang terbaik dan yang paling lama bertahan adalah orang yang anda kenali - orang yang anda bertemu dalam cara yang sebenar, seperti pengurus anda.  

Anda juga adalah orang yang paling penting dalam kehidupan orang-orang yang anda pimpin.
Jadi, persoalan yang penting sekarang adalah bagaimana kita boleh menjadi suri teladan yang lebih baik kepada para pekerja dan pengikut kita?

Para selebriti dan ahli politik biasanya merupakan suri teladan yang kurang baik kerana kita tidak dapat memerhati kehidupan peribadi mereka dari dekat. Dan mereka biasanya mengecewakan kita pada suatu masa.

Langkah menjadi suri teladan yang berkesan

Berikut adalah 5 langkah mudah yang boleh anda ambil untuk memberi inspirasi kepada anak-anak itik yang hodoh untuk menjadi angsa-angsa yang hebat: 

  • Berhati-hati dengan tindakan anda. Sedarilah bahawa ada orang yang memerhatikan anda sepanjang masa.
  • Kenal pasti tabiat-tabiat dan tingkah laku buruk anda.  Ketahui titik-titik buta anda.
  • Apabila anda sudah mengetahui tabiat buruk dan masalah anda, perbaikilah mereka. Minta maaf dan akui kesilapan anda! Tidak ada orang yang sempurna.  Apabila anda membuat pilihan yang buruk, biarkan mereka yang melihat mengetahui anda telah membuat kesilapan supaya mereka dapat belajar bagaimana anda merancang untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.
  • Tunjukkan kualiti-kualiti baik anda.  Tunjukkan keyakinan yang ada dalam diri anda. Berusahalah untuk memberi bantuan sekiranya anda berupaya berbuat demikian biarpun ia menyulitkan anda.
  • Jadilah inspirasi kepada orang lain. Lakukan apa yang anda dapat lakukan dengan baik. Gunakan hidup anda untuk memberi inspirasi besar kepada orang lain.

Kata-kata akhir

Setiap daripada kita mendapat inspirasi daripada suri-suri teladan yang berbeza. Dan sebagai seorang pemimpin, ramai orang memandang tinggi dan mengikuti kita. 

Jadi, kini tibanya giliran anda pula untuk memberi inspirasi kepada orang lain. Jadi, pergi dan ubah anak itik yang hodoh menjadi angsa yang hebat.  Anda mungkin akan mengubah sebuah hidup!

***********************************************************************************************

Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leaderonomics.

Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

Sumber

  • oleh
  • Advertisement