Anda di sini

Kepala lembu diletak di hadapan rumah Rayer

Advertisement

GEORGE TOWN: Satu kepala lembu yang masih berdarah ditemui di hadapan pagar rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima R.S.N Rayer di Tingkat Tembaga, Island Park, di sini semalam.

Rayer berkata kejadian disedari isterinya ketika mahu membuka pagar rumah kira-kira jam 7 pagi dan memaklumkan perkara itu kepada beliau yang berada di tingkat dua kediaman mereka.

“Isteri saya maklumkan seorang lelaki yang melalui hadapan rumah memberitahunya terdapat kepala lembu yang sudah bersiat kulit dan berdarah di luar pagar hadapan rumah kami.

“Saya terus menghubungi polis bagi melaporkan kejadian berkenaan dan turut memaklumkan perkara itu kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini semalam.

Sambil meluahkan rasa kecewa dengan kejadian itu, Rayer berharap polis menjalankan siasatan terperinci dan memberkas pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridaalthrash Wahid yang berada di tempat kejadian, berkata rakaman kamera litar tertutup di rumah ADUN Seri Delima berkenaan menunjukkan kepala lembu tersebut diletakkan oleh seorang lelaki yang datang menaiki motosikal.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan lelaki yang meletakkan kepala lembu itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kegusaran dalam agama.

ADUN berkenaan sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila melabelkan pemimpin UMNO sebagai ‘celaka’ pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bulan lepas.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Pemuda MIC Kebangsaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab meletak kepala lembu di hadapan rumah ADUN Seri Delima terbabit.

Setiausahanya Arvind Krishnan berpandangan tindakan sedemikian adalah keterlaluan dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

“Saya memandang perkara ini sesuatu yang serius dan perlu diberi keutamaan oleh pihak berkuasa kerana melibatkan sensitiviti kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika diminta mengulas isu sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersimpati terhadap kejadian yang menimpa Rayer.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program Latihan Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) di Kuala Kubu Baharu, semalam. — Bernama

Advertisement