Anda di sini

SUPP akan siasat insiden kebocoran maklumat ‘persetujuan 10 perkara’

Advertisement
 

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan melakukan siasatan dalaman berhubung insiden kebocoran maklumat mengenai ‘persetujuan 10 perkara’ ditetapkan parti itu dalam penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Presidennya Datuk Dr Sim Kui Hian yang kesal dengan tindakan ahli parti terbabit berkata ‘persetujuan 10 perkara’ tersebut tidak seharusnya disiarkan dalam akhbar bagi pengetahuan umum.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila siasatan dalaman dilakukan dan bentuk tindakan yang bakal diambil ke atas ahli parti yang berbuat demikian.

“Saya sangat kecewa dengan kebocoran ini (persetujuan 10 perkara). Lebih mengecewakan ia disiarkan dalam akhbar.

“Parti akan melakukan siasatan dalaman (mencari individu atau pihak yang membocorkannya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-22 Majlis Perbandaran Padawan (MPP), semalam.

Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata SUPP sentiasa menyokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mengetuai GPS seperti yang dinyatakan dalam resolusi dicapai semasa Persidangan Delegasi Tahunan (ADC) pada 12 Ogos lalu.

Tambahnya, SUPP sebulat suara bersetuju dengan kenyataan Abang Johari iaitu dalam apa jua situasi, empat parti politik Sarawak iaitu SUPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mesti kekal bersatu.

Pada sidang media selepas ADC, 12 Ogos lalu, Dr Sim enggan mengulas mengenai ‘persetujuan 10 perkara’ kerana persetujuan 10 perkara ditujukan kepada ketua menteri.

Tambahnya, adalah tidak adil untuk mendedahkan perkara itu kepada media kerana ia ditujukan kepada ketua menteri.

Bagaimanapun pada 13 Ogos, ‘persetujuan 10 perkara’ itu didedahkan oleh salah seorang delegasi dan disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan.

Laporan berita itu mendapat maklum balas daripada Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan memberitahu agar SUPP bersabar dan terus berusaha keras di bawah GPS.

Karim juga dipetik sebagai berkata SUPP perlu menunjukkan mereka boleh memenangi semula kerusi-kerusi bandar dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN ) bukan terlalu ‘memberi penekanan’ kepada ‘persetujuan 10 perkara’ itu.

Menurut Karim lagi, ‘persetujuan 10 perkara’ itu hanya persetujuan dalaman SUPP yang tidak pernah dibangkitkan dengan rakan parti dalam GPS.

Advertisement