Anda di sini

Jawatankuasa ditubuh bagi menerima karya-karya artis tempatan

Advertisement
GOBIND (dua kiri) menerima taklimat ketika melawat studio di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
GOBIND (dua kiri) menerima taklimat ketika melawat studio di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa tempatan akan ditubuhkan bagi membolehkan artis-artis di sini mempersembahkan karya-karya mereka bagi mendapatkan kelulusan untuk diterbitkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Gobind Singh Deo berkata, kini artis tempatan perlu menghantar permohonan mereka ke jawatankuasa yang ada di Kuala Lumpur.

"Sekiranya jawatankuasa ini diwujudkan pada peringkat Sabah, maka cadangan atau permohonan artis boleh dihantar terus kepada jawatankuasa ini.

"Jawatankuasa ini mempunyai kuasa untuk membuat keputusan untuk menerbitkan karya itu dan tidak perlu lagi pergi ke Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, saringan peringkat kedua akan dilakukan selepas karya-karya itu diluluskan dalam jawatankuasa yang ditubuhkan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan Majlis Perjumpaan dengan warga KKMM, di sini hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu wajar ditubuhkan berikutan setiap negeri mempunyai nilai budaya dan kisah tempatan yang berbeza-beza dan tersendiri dan boleh diketengahkan bakat-bakat serta karyawan tempatan.

Katanya, KKMM juga akan menstruktur semula dana peruntukan kepada agensi-agensi penerbitan filem negara bagi memastikan ia digunakan secara teratur di semua sektor berkaitan.

Sementara itu, Gobind turut menegaskan bahawa kerajaan akan meningkatkan sistem jalur lebar negara selain menentukan keberkesanan perkhidmatan dan sokongan kepada industri penyiaran serta saluran berita yang menjadi tunjang kepada keupayaan menyelaras perkhidmatan mutu internet negara-negara berhampiran.

"Kita akan jadikan perkhidmatan ini sebagai satu hak asasi kepada pengguna seperti mana keperluan air dan elektrik," katanya.

Gobind turut menjelaskan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sebelah pagi adalah bertujuan membincangkan usahasama kerajaan negeri dengan KKMM bagi menganjurkan Hari Malaysia 2018 di sini.

Katanya, kerajaan negeri akan mengumumkan lokasi acara itu diadakan dalam masa terdekat dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka hadir dalam sambutan itu.

  • oleh
  • Advertisement