Anda di sini

AWAS lapor polis berhubung kenyataan berbaur ugutan

Advertisement

LAPORAN POLIS: Junaidi menunjukkan dua laporan polis yang dibuat oleh AWAS berhubung kenyataan dalam laman sosial.

SIBU: Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS) telah membuat laporan polis berhubung kenyataan dalam sebuah laman sosial yang mengandungi kata-kata ugutan terhadap Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Setiausaha AWAS Mohamad Junaidi Sambang telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Merah kira-kira jam 11.47 pagi semalam.

Menurut Junaidi, laman sosial Facebook itu yang menggunakan nama Salwani Abdullah 2 mempunyai kenyataan berunsur fitnah, perkauman, menghasut dan mengancam untuk membunuh Ketua Menteri.

“Kami daripada AWAS membuat laporan ini bagi mempertahankan pemimpin yang sangat kami kasihi dan juga bagi melindungi negeri Sarawak yang kita sayangi,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Junaidi berkata, beliau terbaca kenyataan dalam laman sosial itu pada 1 Januari lepas, kira-kira jam 8.30 malam, sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.

Beliau memberitahu, laporan polis itu dibuat agar pihak polis dapat melakukan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya sebagai pengajaran kepada mereka yang lain.

“Ini merupakan suatu perkara yang amat serius dan bukan untuk dipersendakan oleh sesiapa pun,” jelasnya.

Semua suku kaum di Bumi Kenyalang katanya, mempunyai budaya tersendiri serta menanam adat resam seperti menghormati orang tua, bersopan dengan tetangga dan masyarakat sekeliling.

“Oleh itu kami daripada AWAS menentang sekeras-kerasnya individu atau mana-mana kumpulan yang bersikap kurang ajar, kecewa dengan politik, mengadakan rusuhan jalanan, menyebar serta menyiarkan keterangan palsu yang boleh menimbulkan kebencian rakyat kepada pemimpin serta pemerintah sedia ada,” ujar Junaidi.

Di samping itu, AWAS juga telah membuat laporan polis berhubung kenyataan laman sosial Facebook yang menggunakan nama YB Sutan Sinaro pada 28 Disember lepas.

AWAS yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan serta berpusat di sini, kini mempunyai keahlian lebih kurang 15,000 di seluruh Sarawak.

Advertisement