Anda di sini

Dr Ting kekal ADUN Pujut

Advertisement
 Reaksi Dr Ting( tiga kiri) bersama pemimpin DAP lain termasuk Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen di pekarangan mahkamah, semalam.
MENANG: Reaksi Dr Ting( tiga kiri) bersama pemimpin DAP lain termasuk Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen di pekarangan mahkamah, semalam.

KUCHING: Mahkamah Rayuan semalam dalam keputusan dua kepada satu menolak rayuan Dewan Undangan Negeri (DUN), Speaker DUN Datuk Amar Asfia Awang Nassar dan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan semula kedudukan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli DUN (ADUN) Pujut.

Hakim bersidang Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan DUN tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan mengenai pembatalan kelayakan Dr Ting kerana faktor yang tidak melayakkannya berlaku sebelum pilihan raya.

Katanya, menurut Perlembagaan Sarawak, ia hanya memberi kuasa kepada DUN untuk membatalkan kelayakan seorang ahli bagi kesalahan selepas pilihan raya, kata Mahkamah Rayuan.

Justeru katanya, prosiding DUN di mana kebanyakan ADUN membuat undian yang tidak memihak kepada Dr Ting adalah batal dan tidak sah kerana tidak mempunyai bidang kuasa.

Dua lagi hakim Mahkamah Rayuan ialah Datuk Harminder Singh Dhaliwal dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Harminder Singh turut bersetuju agar rayuan ditolak.

Ini bermakna keputusan Mahkamah Tinggi disahkan dan ADUN Pujut Dr Ting tidak dibatalkan kelayakan.

Bagaimanapun, hakim yang menentang, Hakim Mary Lim, tidak bersetuju walaupun keputusan majoriti ialah Dr Ting harus dikembalikan semula kedudukannya dan masih menjadi ADUN.

Lim berpendapat, Dr Ting dengan jelas tidak ada kelayakan untuk dipilih sebagai seorang wakil negeri kerana beliau telah mengambil kerakyatan Australia dan beliau menjanjikan taat setia kepada kuasa asing.

Walaupun Dr Ting melepaskan kerakyatan Australia katanya, beliau tidak layak untuk menjadi wakil negeri dan beliau masih tidak layak.

Beliau berpendapat, DUN mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk memutuskan isu itu.

Memandangkan beliau tidak bersetuju dengan keputusan majoriti, Lim berkata hak untuk duduk dalam DUN adalah sebahagian daripada keistimewaan Parlimen.

Beliau berpendapat bahawa DUN mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Dr Ting.

Pada 17 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang tidak memihak kepada keputusan DUN untuk membatalkan kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut apabila Hakim Datuk Douglas Christo Primus Sikayun memutuskan kelayakan plaintif tidak terbatal dan berhak untuk kekal sebagai ADUN yang dipilih rakyat.

“Tiada kekosongan untuk kerusi Pujut,” katanya yang turut menganugerahkan RM100,000 kepada plaintif.

Dengan keputusan mahkamah itu, Dr Ting mendapat kembali kedudukannya sebagai ADUN Pujut, sekali gus tidak memerlukan pilihan raya kecil.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu turut memutuskan: “Dewan tidak ada kuasa jelas untuk menangani keputusan pilihan raya. Dewan bukan badan yang kompeten untuk memutuskan isu-isu perlembagaan, dan Speaker tidak memberi masa yang mencukupi kepada Dr Ting untuk membela diri, dan juga tidak memberi peluang kepada Dr Ting.

“Kepentingan 8,899 pengundi Pujut juga harus diambil kira,” katanya.

“Speaker telah memainkan peranan sebagai pendakwa dan Speaker tidak menyatakan undang-undang dengan tepat, khususnya Artikel 23(1) dan 24(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Peraturan keadilan semula jadi tidak dituruti dan dipatuhi,” katanya.

Dr Ting dibatalkan kelayakan sebagai wakil negeri pada 12 Mei tahun lalu dalam satu usul yang dibentangkan oleh Wong.

Beliau kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuching pada 7 Jun untuk mencabar keputusan DUN.

Advertisement