Anda di sini

Pemilik NEEQOY berazam ubah nasib keluarga

Advertisement

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KEMAS: Susun atur kedai gunting rambut NEEQOY yang diinspirasikan sendiri oleh Faisal.

KESUKARAN hidup yang dialami langsung tidak mematahkan semangat anak muda yang dikenali sebagai Muhammad Faisal Armat, 27, untuk lebih berjaya bagi mengubah kehidupan keluarganya ke arah yang lebih baik.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu juga merupakan anak kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di bawah program E-Kasih kini berjaya membuka kedai gunting rambut kendaliannya dengan bantuan Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN).

Beliau yang menetap di Kampung Semerah Padi, Semariang itu mempunyai kelayakan dalam bidang dandanan rambut dengan menyertai kursus jangka pendek yang dianjurkan GIATMARA Petra Jaya selama enam bulan.

“Pada 2008, saya berjaya menamatkan kursus jangka pendek dandanan rambut di bawah seliaan GIATMARA Petra Jaya dan telah dianugerahkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan sepanjang kursus berlangsung.

“Rezeki menyebelahi saya apabila YAKIN memilih saya untuk menjadi peserta Projek Penjanaan Ekonomi, Unit Sosio Ekonomi YAKIN dan membantu saya untuk membuka salun rambut yang diusahakan sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, kecekalan untuk mengusahakan perniagaan sendiri meskipun dihambat kesusahan pada awalnya menjadikannya seorang yang lebih berdikari dan menghargai peluang yang ada.

Dengan bantuan serta sokongan yang dihulurkan YAKIN, Faisal percaya akan lebih maju serta mampu untuk mengubah kehidupan keluarganya, lebih-lebih lagi ibu bapanya kini tidak bekerja.

GIGIH: Pekerja di NEEQOY Unisex Hair Salon sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka.

“Ibu bapa saya sudah tidak bekerja, dan ia menjadi dorongan kepada saya untuk bekerja lebih keras bagi menampung perbelanjaan harian keluarga kami,” ujarnya.

Kedai Gunting Rambut YAKIN yang diusahakannya dikenali dengan nama NEEQOY Unisex Hair Salon bertempat di Pusat Komersial RiverEdge, Jalan Merdeka, Kuching (berdekatan dengan restoran Teh Tarik Cafe).

Kedai yang mula beroperasi sejak Disember 2013 itu diusahakan sendiri selain turut dibantu oleh empat rakannya yang lain.

Kedai gunting rambut itu menawarkan pelbagai perkhidmatan dandanan rambut merangkumi perkhidmatan menggunting rambut, menggulung rambut, rawatan rambut, mewarna rambut dan sebagainya dengan harga yang berpatutan.

Ia beroperasi setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 11 pagi hingga 9 malam manakala jam 10 pagi hingga 9 malam pada hari Sabtu dan Ahad.

Projek Kedai Gunting Rambut YAKIN itu juga menyasarkan NEEQOY Unisex Hair Salon menjadi pusat latihan kepada anak muda yang berminat namun mempunyai batasan kemampuan untuk mendapatkan kemahiran di tempat lain.

YAKIN berharap agar dapat terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai azam yang tinggi untuk mengubah nasib mereka.

Advertisement