Anda di sini

1,700 individu dilantik sukarelawan

Advertisement
 Ahmad Faizal (tengah) menerima jersi bola Perak daripada Abdul Puhat sambil disaksikan Lee (dua kanan) dan yang lain ketika sidang media pada perlawanan bola Liga Super Perak bertemu PKNP FC di Stadium Perak malam kelmarin. — Gambar Bernama
UNTUK MB BAHARU: Ahmad Faizal (tengah) menerima jersi bola Perak daripada Abdul Puhat sambil disaksikan Lee (dua kanan) dan yang lain ketika sidang media pada perlawanan bola Liga Super Perak bertemu PKNP FC di Stadium Perak malam kelmarin. — Gambar Bernama

IPOH: Seramai 1,700 individu telah dilantik menjadi sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 yang bakal berlangsung dari 12 hingga 22 September depan. 
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How berkata jumlah itu dijangka bertambah selepas 3,500 daripada kira-kira 4,000 pemohon lain melepasi saringan keselamatan oleh polis pada April lalu.
“Selain itu, Melaka dan Pulau Pinang juga akan menghantar sukarelawan dari negeri masing-masing bagi membantu.
“Persetujuan ini dicapai setelah saya berjumpa dengan Exco  sukan dan belia kedua-dua negeri itu dan mereka bersetuju menghantar rombongan sukarelawan untuk bersama sukarelawan kita nanti,” katanya pada sidang media di Stadium Perak di sini malam kelmarin.
Mengulas mengenai persiapan venue SUKMA di Kerian, Pangkalan Hulu serta Larut, Matang dan Selama sejak 24 Mei lalu, Lee berkata ada di antaranya mungkin akan mengalami kelewatan.   
“Kita juga mungkin menyemak semula venue-venue pertandingan yang dijangka tidak dapat digunakan bagi tujuan SUKMA ini untuk dipindahkan ke venue lain tanpa melibatkan sebarang kos,” katanya. 
Sementara itu, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu memaklumkan kerajaan negeri bersetuju melantik bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan selaku perunding bagi kejohanan SUKMA 2018.
Katanya perkara itu diputuskan selepas mengambil kira pengalaman dan keterlibatan beliau selaku antara teraju utama dalam penganjuran sukan berkenaan sebelum ini. 
“Selain itu, pelantikan ini juga membuktikan bahawa pentadbiran kerajaan baharu ini tidak memilih bulu dan mampu bekerjasama dengan semua pihak asalkan ia membawa kebaikan kepada negeri,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Puhat merupakan bekas Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk SUKMA Perak 2018 yang berperanan selaku pemimpin utama yang dipertanggungjawabkan dalam menjayakan penganjuran temasya tersebut. 
Sementara itu, Abdul Puhat merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan kerana memberi kepercayaan kepadanya bersama-sama menjayakan SUKMA 2018. 
Katanya beliau akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan penuh komitmen bersama barisan baharu yang mengetuai penganjuran kejohanan tersebut. — Bernama

Advertisement