Anda di sini

Shafie: Tiada keperluan adakan Persidangan DUN

Advertisement

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal menjelaskan bahawa tiada keperluan mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyelesaikan masalah pertindihan kuasa antara beliau dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Musa Aman.

Katanya, pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri sudah mengikut segala peraturan dan pelembagaan negeri dan mendapat perkenaan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

"Proses ini sudah mengikut tatatertib yang ada iaitu selepas menghantar surat kepada Tuan Yang Terutama  (TYT) yang mengandungi beberapa perakuan dengan cop majistret, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dipanggil TYT  tanpa kehadiran saya.

SHAFIE Apdal
SHAFIE Apdal

"Mereka (Adun) sudah menandatangani surat dan bersetuju tentang pembentukan kerajaan Warisan dan setelah itu atas keyakinan TYT, beliau terus memanggil Tan Sri Musa Aman untuk meletak jawatan," katanya pada sidang media di kediaman rasminya, di sini pada malam Sabtu.

Ditanya mengenai keengganan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu untuk meletak jawatan, Shafie berkata, Musa tidak akan mampu bertahan lama ekoran sudah kehilangan majoriti sokongan untuk meneruskan khidmatnya selaku Ketua Menteri.

Katanya, ia cukup jelas terkandung dalam pelembagaan yang mengatakan bahawa sekiranya majoriti tidak mencukupi, Ketua Menteri itu perlu meletak jawatan atau bubar Dewan dengan persetujuan TYT.

"Dan perkara ini bukanlah satu perkara baru kerana di Perak pun serupa dalam kes Nizar dan Zamri.

"Kemudian, Nizar angkat sumpah dan selepas itu didapati lepas sokongan majoriti tidak mencukupi, dan perkhidmatan dia ditamatkan oleh Sultan Perak," katanya.

Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) mengangkat sumpah di Istana Negeri di sini, pada jam 9.15 malam pada Sabtu setelah memiliki majoriti 35 kerusi DUN.

  • oleh
  • Advertisement