Anda di sini

Musa akan saman Junz atas tuduhan palsu

Advertisement
NAJIB (tujuh kiri), Musa (lapan kiri) bersama pemimpin BN yang lain merakamkan gambar kenangan.
NAJIB (tujuh kiri), Musa (lapan kiri) bersama pemimpin BN yang lain merakamkan gambar kenangan.

PENAMPANG: Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman akan mengambil tindakan undang-undang untuk menyaman Naib Presiden Parti Warisan Sabah Junz Wong yang mengatakan tanah di pantai Tanjung Aru digadaikan kepada China untuk membangunkan Projek Mega Tanjung Aru Eco Development (TAED).

Musa berkata, TAED adalah projek dimiliki penuh oleh kerajaan negeri dan pembangunan itu mengambil kira kawasan itu untuk dibangunkan sebagai salah satu destinasi pelancongan.

"Esok (hari ini) saya akan saman beliau kerana projek ini dimiliki penuh oleh kerajaan negeri.

 

"Inilah cara Warisan, hanya pandai menipu," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Barisan Nasional (BN) Bersama Rakyat, di sini pada malam Ahad.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan sejumlah RM500 juta untuk pembangunan TAED sebelum ini dan tuduhan seumpamanya adalah berniat jahat.

Katanya, kerjasama erat di antara kerajaan negeri dan Pusat memainkan peranan penting dalam usaha pembangunan di Sabah.

"Dengan kerjasama ini, apa kita mahu boleh dapat, kita boleh duduk berbincang...Perdana Menteri akan mempertimbangkan sekiranya untuk kepentingan rakyat...dia akan luluskan.

"Hubungan erat ini penting bagi kesinambungan pembangunan di Sabah," katanya.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah menjelaskan kerajaan Pusat yang diterajui Najib selama ini telah memberikan manfaat yang banyak kepada negeri ini.

Katanya, kesudian untuk menjadikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam manifesto Barisan Nasional (BN) menunjukkan komitmen kerajaan Pusat bagi mengembalikan hak-hak orang Sabah.

"Selain itu, Sabah juga diluluskan peruntukan RM1 bilion pada Bajet 2018 untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif. Antara lain pembangunan untuk rakyat Sabah ialah lebuh raya Pan Borneo, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan banyak lagi," katanya.

Katanya, Penampang yang dikuasai pembangkang masih menerima peruntukan RM300 juta bagi projek mitigasi banjir.

Musa berkata, lawatan ke setiap bahagian di negeri ini ketika mengadakan kempen pilihan raya menampakkan ribuan penyokong berbaju biru.

"Lautan biru ini menunjukkan BN menjadi sambutan rakyat di Sabah, mengapa?...sebab rakyat kita bijak, tahu apa yang boleh dibawakan BN.

"Pihak pembangkang yang mengatakan Perdana Menteri memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di Sabah adalah 'dedak' membuatkan rakyat negeri ini marah," katanya.
 
Hadir sama dalam majlis itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, calon BN Parlimen Penampang Ceasar Mandela Malakun, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan Datuk Francis Goh dan calon BN DUN Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau serta pemimpin BN yang lain.

  • oleh
  • Advertisement