Anda di sini

Pertandingan enam penjuru di Parlimen Beluran

Advertisement
RONALD (kiri) bersama Japar, Salimah, Lem, Toidy dan Sipin sebagai calon PRU14 bagi Parlimen Beluran.
RONALD (kiri) bersama Japar, Salimah, Lem, Toidy dan Sipin sebagai calon PRU14 bagi Parlimen Beluran.

BELURAN: Parlimen Beluran menyaksikan pertandingan enam penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei depan.

Penyandang Ahli Parlimen Beluran yang mempertahankan kerusi itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mewakili Barisan Nasional (BN/Umno) ditentang lima calon lain, termasuk seorang calon wanita.

Ronald, 57, ditentang oleh calon Bebas Salimah Oyong, 53, Toidy Luit, 53, dari Parti Cinta Sabah (PCS), Sipin Kandadi, 56, dari Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan), Dr Japar Zairun, 49, dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Lem @Salim Matin, 60, dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Beliau bersama pencadangnya Samad Jambri dan penyokong Osmond Lawansa yang tiba pada jam 9.04 pagi merupakan calon paling awal tiba untuk mengemukakan borang pencalonan di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Beluran.

Salimah bersama Bonor Miakang (pencadang) dan Mogis Beri (penyokong) mengemukakan borang pencalonannya pada jam 9.10 pagi, diikuti Toidy Luit bersama Bolihai Luit (pencadang) dan Sabin Kangut (penyokong) pada 9.25 pagi.

Sipin bersama Josue Anthony Nichol (pencadang) dan Wahid Said (penyokong) mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.40 pagi, diikuti Japar bersama Mohd Salleh Junaidi (pencadang) dan Asmat Ahad (penyokong) pada jam 9.50 pagi.

 

Calon kerusi Parlimen Beluran yang terakhir mengemukakan borang pencalonan ialah Lem pada 9.55 pagi, bersama pencadang dan penyokongnya Lating Omar dan Sariyah Sampon.

Pegawai Pengurus Pilihanraya (RO) bagi kawasan Parlimen Beluran Suhaili Riman yang juga Pegawai Daerah Beluran mengumumkan secara rasmi senarai calon bertanding bagi kawasan Parlimen Beluran pada jam 12.05 tengahari di pekarangan Dewan Serbaguna Beluran tanpa sebarang penolakan terhadap borang pencalonan bagi semua calon yang bertanding.

Lebih 2,000 penyokong BN berkumpul di kawasan Dataran Majlis Daerah Beluran sejak awal pagi di luar dewan pusat penamaan calon, manakala para penyokong parti lain seperti Warisan, Harapan, PPRS dan PCS berkumpul di kawasan padang lama bersebelahan pagar bangunan Dewan Serbaguna Beluran.

Ribuan penyokong kesemua parti bertanding yang berkumpul sejak awal pagi tidak menghiraukan keadaan cuaca panas terik yang kemudiannya tiba-tiba hujan sekitar jam 11.40 pagi.

Ketua Polis Daerah (KPD) Beluran Supt Shivananthan A/L R Velauthan yang ditemui di lokasi pusat penamaan calon bagi kawasan Parlimen Beluran serta DUN Sugut dan Labuk mengesahkan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses penamaan calon itu berlangsung.

  • oleh
  • Advertisement