Anda di sini

Parti mana miliki kerusi tidak penting

Advertisement

KUCHING: Belum ada kepastian adakah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar, Bengoh, Engkilili dan Bawang Assan akan terus diper-untukkan kepada SUPP pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 kelak.

ADUN Bengoh Datuk Dr Jerip Susil berkata parti mana yang memiliki kerusi itu bukan persoalannya tetapi lebih penting siapa berpeluang cerah untuk menang bagi Barisan Nasional (BN).

“Demi kestabilan dan kekukuhan, BN harus memenangi sebanyak mungkin kerusi menerusi calon boleh menang dan untuk itu saya amat yakin dengan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem sebagai pengerusi BN akan menggunakan kebijaksanaannya memilih calon boleh menang agar menang kerusi tersebut,” katanya.

Dr Jerip yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam berkata tidak ada guna untuk berkelahi mengenai pemilik kerusi kerana semua keputusan mengenai calon BN terletak pada budi bicara pucuk pimpinannya.

“Jika SUPP mengutamakan kekukuhan BN mereka wajar bergantung kepada kebijaksanaan YAB KM,” katanya mengulas kenyataan Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin kelmarin.

Menurut Chin, kerusi Opar, Bengoh, Engkili dan Bawang Assan seharusnya diberi balik kepada SUPP susulan wakil-wakil rakyatnya keluar parti itu dan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Selain Dr Jerip, mereka yang terbabit ialah Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Ranum Mina (Opar).

TERAS juga disertai bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom (ADUN Pakan dan Ahli Parlimen Saratok), Datuk Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Rosey Yunus (Bekenu), Datuk Sylvester Entri (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau. Semua mereka daripada SPDP.

Timbalan Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) George Lagong (Pelagus) turut menyertai TERAS.

TERAS memilih untuk pro-BN dan memohon untuk menyertainya.

Bagaimanapun, SUPP dan SPDP membantah dan enggan menerima kemasukan TERAS ke dalam BN.

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisement