Anda di sini

Dayak harus utamakan pendidikan anak

Advertisement

TAHNIAH: Wong (tiga kiri) menyampaikan insentif kepada salah sorang anak ahli SDNU yang cemerlang dalam pelajaran.

Mereka harus pastikan anak-anak mereka menerima pendidikan baik dan sempurna: Wong

SIBU: Masyarakat Dayak harus memastikan anak-anak mereka menerima pendidikan yang baik dan sempurna.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berkata, tiada apa yang lebih penting daripada pendidikan.

“Dan hanya pendidikan yang dapat meningkatkan taraf hidup kita dan kemudiannya membawa masyarakat kita ke dunia yang moden dan lebih kompetitif,” katanya.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sibu di sebuah restoran di sini kelmarin.

Majlis makan malam itu dianjurkan untuk meraikan sambutan Perayaan Hari Krismas dan menyambut kedatangan 2014.

Pemberian insentif kepada ahli yang telah cemerlang dalam pelajaran wajar dibudayakan sebagai motivasi dan dorongan.

Dalam pada itu Wong yang menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan turut berkesempatan menyampaikan insentif pelajar cemerlang.

“Saya harap mereka akan belajar dengan tekun dan tidak mengecewakan cawangan SDNU Sibu yang benar-benar mahukan mereka (pelajar) berjaya dalam pelajaran serta bidang yang diceburi.

“Saya juga berharap anda (pelajar) akan menjadi orang yang berguna dan menjadi pemimpin yang disanjung pada masa depan,” ujarnya.

Beralih kepada sambutan perayaan Hari Krismas, Wong memberitahu bahawa ia diharapkan dapat menghimpunkan semua orang untuk membentuk persahabatan dan perpaduan yang kukuh.

Jelas beliau, masyarakat juga sudah harus lebih bersedia untuk menempuhi tahun baharu untuk meraih segala yang masih belum dapat dilaksanakan pada tahun lepas.

“Saya berharap kita semua akan melangkah jauh ke hadapan dan bekerja lebih keras lagi,” ujarnya.

Beliau juga mengumumkan pemberian geran sebanyak RM10,000 untuk penganjuran aktiviti SDNU Cawangan Sibu.

Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling, Pemanca Stanley Geramong dan Pengerusi SDNU Cawangan Sibu Tengku Gruna.

Advertisement