Anda di sini

KPDNKK Perlis mengesan syarikat pembinaan terbabit penyelewengan petrol dan diesel

Advertisement

KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis mengesan syarikat pembinaan turut terbabit dengan penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi.

Timbalan pengarahnya, Razali Salleh berkata dalam serbuan pertama ke atas syarikat pembinaan satu projek di Kuala Perlis dekat sini tengah hari semalam, pihaknya menemui 3,000 liter diesel disimpan di tapak projek itu tanpa kebenaran.

“Syarikat itu sepatutnya beli diesel industri pada harga RM2.70 seliter dan memohon permit untuk menyimpannya daripada KPDNKK tetapi sebaliknya membeli diesel subsidi RM2 seliter sikit-sikit dan dikumpul dalam tong dram.

“Kami terpaksa menyita diesel tersebut serta mengambil keterangan pengurusan syarikat sebelum tindakan lanjut dapat diambil,” kata Razali kepada pemberita di tapak projek syarikat itu.

Menurutnya ia merupakan sebahagian kejayaan ‘Ops Titik’ yang dilancarkan di seluruh negara mulai 15 Mei lepas untuk membanteras penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi.

Sebelum itu, anggota penguat kuasa KPNKK Perlis menyita 5,000 liter petrol yang diisi dalam 23 tong dram setelah menyerbu satu gudang di sebuah kampung berhampiran sempadan Malaysia/Thai di Wang Kelian 1.20 tengah hari kelmarin.

Razali berkata siasatan awal mendapati gudang itu dijadikan tempat penyimpanan petrol dipercayai oleh sindiket yang membeli bahan bakar itu di negeri ini untuk diseludup ke negara jiran.

Katanya pihaknya juga mengambil keterangan daripada seorang lelaki tempatan berumur 30-an yang mengaku pemilik gudang itu untuk tindakan lanjut.

Menurutnya trend penjualan petrol dan diesel tahun ini didapati menurun berbanding tahun lepas. Sehingga kelmarin 96,899 liter petrol dan 3,267 liter diesel berserta peralatan bernilai lebih RM223,000 dalam 68 kes dirampas.

“Bagi tahun lepas kita ada 120 kes rampasan 114,125 liter petrol dan 12,668 liter diesel serta peralatan digunakan bernilai lebih RM301,300,” tambah beliau.

Razali berkata semua kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dikenakan denda RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

KPDNKK mengenal pasti banyak kawasan panas termasuk tapak pembinaan dijadikan tempat penyimpanan bahan bakar itu namun kekurangan kakitangan menyebabkan pemantauan menyeluruh tidak dapat dilaksanakan, kata Razali. — Bernama

Advertisement