Anda di sini

Pulau Pinang catat 13,733 kes denggi: Dr Hilmi

Advertisement

BALIK PULAU: Sejumlah 13,733 kes denggi dilaporkan di Pulau Pinang dari Januari hingga semalam, iaitu peningkatan 178 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata setakat ini tiga kes kematian dicatat iaitu satu di daerah Timur Laut dan dua di Seberang Perai Tengah.

“Masyarakat jangan terlalu bergantung kepada ‘fogging’ kerana ia bersifat sementara dan hanya membunuh nyamuk dewasa. Orang ramai kena ambil inisiatif sendiri musnahkan tempat pembiakan nyamuk,” katanya kepada pemberita ketika meninjau program gempur aedes peringkat Parlimen Balik Pulau di sini semalam.

Program gotong-royong itu melibatkan penyertaan lebih 600 orang termasuk penduduk kampung dan 330 pelatih Program Latihan Khidmat Negara dari Kem White Resort Balik Pulau.

Dr Hilmi menyarankan rakyat meluangkan 10 minit setiap hari memeriksa air bertakung terutama di kawasan tersembunyi kerana jentik-jentik mampu membiak dalam air serendah paras lima milimeter serta boleh bertahan sehingga enam bulan, jika tidak dimusnahkan.

Beliau turut menggesa mereka yang disahkan positif denggi supaya mendapatkan rawatan lanjut dengan segera kerana terdapat segelintir pesakit tidak meneruskan rawatan, menyebabkan keadaan kesihatan mereka semakin teruk.

“Ada yang sah alami simptom denggi semasa ujian saringan tetapi bila suruh dapatkan pemeriksaan susulan mereka hilang begitu sahaja jadi kami susah nak kesan dan pantau kesihatan pesakit dari semasa ke semasa,” katanya.

Dr Hilmi berkata purata laporan denggi di seluruh negara merekodkan 1,200 kes setiap minggu berbanding 2,000 kes tahun lepas dan secara keseluruhannya menunjukkan trend penurunan berikutan langkah agresif kementerian meningkatkan kesedaran komuniti tentang ancaman nyamuk aedes. — Bernama

Advertisement