Anda di sini

Kepakaran Interpol kekang pengganas asing

Advertisement

Operasi Maharlika dilaksanakan bersama oleh Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina

SANDAKAN: Kepakaran Polis Antarabangsa (Interpol) digunakan dalam pelaksanaan operasi bersama Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina bagi mengekang kemasukan Pejuang Pengganas Asing (FTF).

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata operasi dikenali Operasi Maharlika Interpol itu dijalankan selama dua minggu bermula hari ini dan dilaksanakan oleh pasukan penguat kuasa di negara masing-masing

Katanya, berkata operasi itu mendapat bantuan daripada Interpol dari segi penggunaan latihan sistem data dan perkakasan sesuai dan bagi mengekang pergerakan FTF khususnya dalam kawasan empat negara terlibat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Operasi Maharlika Interpol di sini, semalam. Hadir sama Pengarah Operasi Sokongan dan Analisis Sekretariat Am Interpol Harald Arm, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Ahmad Najmuddin Mohd dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali.

Sokongan sistem data Interpol membolehkan pasukan penguat kuasa di empat negara itu menyemak rekod jenayah individu yang diperiksa dalam operasi itu.

Maklumat yang diperolehi daripada operasi itu akan dikumpulkan. Saya percaya dengan tindakan permulaan dan sokongan Interpol dapat membantu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina untuk menjalankan operasi lebih berkesan dalam mengekang pergerakan FTF,” katanya.

Zulkifli berkata pelaksanaan operasi bersama ini penting bagi menunjukkan kepada FTF yang empat negara dalam ASEAN ini bersatu hati dalam memerangi aktiviti jenayah mereka.

Beliau berkata, ini adalah pertama kali Interpol terlibat dalam operasi bersama membabitkan empat negara dalam menangani FTF.

Menurutnya sokongan daripada pihak Interpol dan tumpuan mereka terhadap rantau ini amat penting.

Katanya di negara ini, kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) menjadi tumpuan pelaksanaan operasi ini membabitkan polis, Tentera Laut Diraja Malaysia,  Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan pasukan penguatkuasaan dan keselamatan di bawah ESSCom. — Bernama

Advertisement