Anda di sini

BERNAS diminta tidak kenakan kadar potongan tinggi hasil padi petani

Advertisement

BESUT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta syarikat Beras Nasional Berhad (BERNAS) tidak mengenakan kadar potongan melampau bagi padi dibeli daripada petani kerana ia membebankan golongan itu.

Timbalan Menteri Datuk Tajuddin Abdul Rahman ketika memberikan ingatan itu berkata sesetengah kompleks milik BERNAS di seluruh negara didapati membuat potongan harga sehingga 28 peratus yang sememangnya tidak munasabah dan perlu dihentikan segera.

“Dalam proses transisi diperkenalkan kementerian melalui kenaikan harga siling sebanyak RM1,200 daripada RM980 bagi setiap tan metrik padi, kerajaan berhasrat untuk melihat para petani mendapat pendapatan tinggi daripada biasa “Transisi tersebut tidak akan memberi apa-apa kelebihan kepada petani sekiranya kadar pemotongan hasil padi mereka dinaikkan pula daripada 18-20 peratus sebelum ini kepada 20 hingga 28 peratus,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Tajuddin berkata majoriti petani merungut kerana transisi yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu mereka seolah-olah telah dirampas dengan cara menaikkan kadar potongan itu.

“Kita minta BERNAS mengadakan perbincangan dan perundingan dengan penjual padi sebelum membuat pemotongan dan bukan secara meletak kadar pemotongan dengan cara sesuka hati,” katanya.

Beliau memberikan contoh BERNAS di kawasan Sungai Manik, Pasir Salak di Perak yang mengekalkan kadar potongan antara 15 hingga 18 peratus sahaja.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara dijangka mempunyai kilang padi masing-masing dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 yang akan bermula tahun depan.

Katanya buat masa ini hanya tiga daripada 33 PPK di seluruh negara mempunyai kilang padi sendiri sebagai pusat pengumpulan, pengilangan dan pengedaran beras.

“Ini adalah bagi memastikan para petani tidak terikat dengan mana-mana pihak hingga menyebabkan mereka ditindas termasuk dikenakan pemotongan hasil padi yang terlalu tinggi hingga membebankan mereka,” katanya.

Tajuddin berkata kerajaan mengalami kerugian berpuluh juta ringgit setiap tahun kerana majoriti hasil padi petani dijual kepada orang tengah. — Bernama

Advertisement