Anda di sini

Nilai ringgit semakin stabil dan meningkat

Advertisement

Dipengaruhi harga minyak mentah, kemasukan semula aliran dana portfolio pelabur

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit semakin stabil dan meningkat sebanyak 4.6 peratus sehingga 21 Julai lepas, berbanding dolar Amerika pada tahun ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 Beliau berkata peningkatan itu dipengaruhi beberapa faktor antaranya peningkatan harga minyak mentah dunia (Brent) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan kemasukan semula aliran dana portfolio pelabur bukan pemastautin ke dalam pasaran kewangan Malaysia.

 Menurutnya, seperti manamana pergerakan kadar pertukaran mata wang yang akan memberi keuntungan dan kerugian kepada sektor tertentu, nilai ringgit yang lebih kukuh akan mengurangkan kos perniagaan mempunyai kandungan import tinggi, mengurangkan harga barang import dan seterusnya menggalakkan perbelanjaan domestik.

 “Peningkatan nilai mata wang ringgit sejak awal tahun ini disumbangkan oleh petunjuk-petunjuk ekonomi utama Malaysia yang semakin positif iaitu pertumbuhan eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi.

 “Kegiatan ekonomi yang semakin menggalakkan juga dapat membantu meningkatkan sentimen pelabur dan seterusnya menyokong pengukuhan nilai ringgit,” kata Johari ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai impak berganda nilai ringgit yang mengukuh, pada Persidangan Dewan Rakyat, semalam.

 Selain itu, katanya, langkah pembangunan pasaran yang diperkenalkan pada akhir 2016 dan April 2017 oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyumbang kepada kestabilan nilai ringgit dan turut berperanan mengimbangkan penawaran dan permintaan mata wang asing di pasaran mata wang tempatan.

 Jelasnya, kesan langkah pembangunan pasaran dapat dilihat di mana aktiviti kontrak hadapan tanpa serahan dalam pasaran luar pesisir telah menurun, manakala kemudahruapan nilai ringgit juga berkurangan dengan ketara.

 Menjawab soalan Ahmad mengenai impak berganda harga minyak mentah pula, Johari berkata harga minyak mentah dunia (Brent) meningkat kepada AS$52.20 setong dalam tempoh enam bulan pertama 2017 berbanding AS$40.16 setong bagi tempoh yang sama 2016.

 Peningkatan itu disumbangkan oleh usaha pengeluar utama minyak mentah dunia yang menghadkan pengeluaran bagi mengelakkan harga minyak terus turun serta disokong oleh pemulihan permintaan global, kata Johari.

 “Meskipun harga Brent menjunam kepada AS$48.42 setong pada Januari 2015 dan berterusan rendah sehingga akhir 2016, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak lima peratus pada 2015 dan 4.2 peratus pada 2016,” katanya.

 Beliau berkata pertumbuhan itu disokong oleh struktur ekonomi yang pelbagai di mana sektor perkhidmatan menyumbang 54.3 peratus kepada KDNK diikuti sektor pembuatan sebanyak 23 peratus dan sektor perlombongan sebanyak sembilan peratus. — Bernama

Advertisement