Anda di sini

Bangkit isu Tiananmen, China kritik AS bersikap prejudis

Advertisement

BEIJING: Amerika Syarikat (AS) harus menolak sikap prejudis dan berhenti membuat tuduhan tidak berasas, menurut kementerian luar China, selepas Setiausaha Luar Rex Tillerson menuntut penilaian semula sepenuhnya atas tindakan kerajaan pada 1989 terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi di Beijing.

Pemerintah Parti Komunis menghantar kereta kebal pada 4 Jun, 1989, bagi meleraikan protes di sekitar Dataran Tiananmen, sebelum keadaan bertukar tragik, tetapi kerajaan tidak pernah menyatakan angka kematian.

Anggaran kumpulan hak asasi manusia dan saksi meliputi antara ratusan kepada ribuan orang.

Ahad lepas, ulang tahun ke-28 insiden itu, Tillerson menjelaskan permintaan AS kepada China untuk membuat kiraan penuh mangsa terkorban, ditahan atau hilang.

Kami menggesa China berhenti mengganggu anggota keluarga yang mendapatkan pembetulan dan untuk membebaskan dari penjara  mereka yang berjuang untuk mengekalkan kenangan Dataran Tiananmen,” menurut beliau dalam laman sesawang Jabatan Negara.

Dalam kenyataan ringkas dibawa agensi berita rasmi Xinhua di China lewat kelmarin, kementerian luar menyatakan kerajaan mempunyai kesimpulan yang pasti mengenai pergolakan politik pada lewat 1980-an.

AS mengabaikan fakta objektif, membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan China tahun demi tahun, dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman China,” menurut Xinhua, memetik pihak kementerian.

China membantah tegas aktiviti AS dan menggesa mereka membuang sikap prejudis, membetulkan salah laku dan melindungi pembangunan hubungan China-AS melalui tindakan sebenar.”

China dan AS kerap berbalah mengenai isu hak asasi manusia, walaupun pentadbiran Trump dikritik kumpulan hak asasi manusia kerana meremehkan isu tersebut.

Perbincangan umum mengenai kejadian pada 1989 itu adalah satu larangan rasmi baik secara terbuka mahupun di media massa.

Namun begitu setiap tahun ribuan menyertai acara-acara peringatan di wilayah Hong Kong di China bagi memperingati tragedi berdarah itu. — Reuters

Advertisement