Anda di sini

Bantin Dampa @ Ijau Lelayang: Wira tidak di dendang

Advertisement
 Dr Rayong menuangkan air tuak di tapak dipercayai kubur anak Bantin iaitu Rengga.
MOHON BERKAT: Dr Rayong menuangkan air tuak di tapak dipercayai kubur anak Bantin iaitu Rengga.
 Tempayan berukir naga yang masih terdapat di kubur Bantin. Turut kelihatan ialah bekas menumbuk dan menyimpan sirih.
BUKTI: Tempayan berukir naga yang masih terdapat di kubur Bantin. Turut kelihatan ialah bekas menumbuk dan menyimpan sirih.

DISAMBUT MERIAH Ketibaan peserta disambut meriah oleh penduduk rumah panjang itu dan mereka sangat teruja dengan kehadiran kami.

 Menurut mereka sudah lama rumah panjang mereka tidak menerima tetamu luar dan jauh sekali pelawat dari Sarawak justeru sambutan secara tradisi kaum Iban dibuat sebagai tanda mengalualukan kedatangan kami.

 Selepas naik dan berehat seketika di ruai memandangkan jam sudah masuk angka 3 petang, peserta rombongan dan penduduk kampung terutama kaum belia sepakat untuk naik ke puncak Bukit Keruin petang itu juga.

 Selepas menangkap seekor khinzir dan ayam putih untuk dikorbankan di puncak Bukit Keruin, kami segera menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke kaki Bukit Keruin.

 Hampr jam 4 petang rombongan seramai hampir 30 orang memulakan pendakian menuju ke kubur Bantin dan anaknya Rengga di puncak Bukit Keruin.

 Menurut penduduk tempatan, kami harus mendaki tiga bukit yang curam dan bertebing tinggi sebelum pendakian terakhir iaitu Bukit Keruin.

 Mereka berpesan supaya tidak berpecah dan bergerak dalam kumpulan memandangkan hutan itu agak tebal, jarang dilalui, berbahaya dan khuatir ada ‘gangguan’ kerana harus melalui Bukit Kota yang dikatakan agak berpenunggu kerana misi kami ialah ke puncak bukit yang menempatkan kubur pahlawan tersebut.

 ALAH BISA TEGAL BIASA Selepas menyediakan kelengkapan diri terutama kasut yang sesuai dan bekalan air, penulis dan peserta rombongan diketuai penduduk tempatan memulakan pendakian.

 Memang perit, sejak mula hingga akhir, kami jarang dihidangkan dengan laluan landai sebaliknya sentiasa mendaki laluan berbukit bermula dengan kaki Bukit Kota sehinggalah ke kaki Bukit Keruin.

 Terus terang ini bukan ekspedisi pertama penulis memandangkan kerap menyertai ekspedisi hutan namun kali ini cukup mencabar.

 Selain perjalanan yang tidak menemui anak sungai, kadang kala langkah kami terhenti kerana harus melalui tebing yang curam dan jurupandu menasihati agar peserta berhati-hati kerana batu-batuan licin.

 Melihat keadaan itu, penulis segera menjarakkan diri dari kelompok utama dan menyusuri kumpulan pertama diketuai pendaki tempatan agar segera sampai ke puncak Bukit Keruin.

 Selepas berehat hampir lima kali dan menempuh perjalanan yang sangat sukar dan ada kalanya hampir berputus asa akhirnya penulis dan seramai lapan peserta termasuk belia tempatan sampai di kemuncak Bukit Keruin.

 Di situ penulis terpegun melihat betapa indahnya alam yang tidak terusik dengan kayu balak bernilai tinggi seperti meranti merah, cenggal, pokok gaharu, pokok belian, ketapang dan sebagainya tumbuh segar dan usianya pula dianggarkan ratusan tahun.

 Kemudian penulis berjalan di sekitar tapak kubur Bantin yang sudah siap dibaik pulih dan bagaikan mimpi apabila di depan mata terpampang kubur pahlawan itu dan anaknya Rengga yang terletak sedikit ke atas kubur Bantin.

 Masih jelas kelihatan juga sedikit harta benda yang dibawa Bantin seperti Tajau berukir naga, tempat simpanan sirih dan tembakau, bekas menyimpan lampu minyak tanah dan penutup keranda yang membawa tulang Rengga tidak jauh dari kubur Bantin.

 Malah penulis turut dimaklumkan bahawa di kubur Rengga turut tersimpan satu parang dikenali ‘Nyabur’ - sejenis pedang tempur dan dikatakan kerap digunakan beliau ketika amalan ‘Ngayau’ masih diamalkan.

 Tidak lama kumpulan pendaki seterusnya menyusul dan mereka tidak berkumpulan sebailknya tiba seorang demi seorang mengikut kekuatan kudrat masing-masing.

 Namun penulis dimaklumkan empat peserta gagal menawan puncak Bukit Keruin atas faktor kesihatan.

 Di atas puncak Bukit Keruin, kami terpegun dengan keindahan alam ciptaan Tuhan.

 Pemandangan sangat indah terutama ketika itu matahari mula terbenam hingga menampakkan bukit bukau yang jauh berbalambalam dan menampakkan bukit bagaikan berlapislapis.

 Malah peserta tidak dapat lari memikirkan betapa kuatnya kudrat orang zaman dahulu menawan bukit ini untuk menempatkan persemadian Bantin dan anaknya Rengga di situ bersama harta benda milik si mati.

 Selepas warisnya Dr Johnical Rayong tiba dan upacara ritual berlangsung peserta rombongan dinasihatkan segera turun memandangkan jam ketika itu sudah jam 6 petang.

 Tanpa berlengah, peserta ekspedisi mula turun seorang demi seorang dari puncak bukit untuk ke kaki Bukit Keruin seterusnya ke Bukit Kota dan jalan utama.

 Perjalanan turun tidak sesukar mana seperti pendakian tadi.

 Memandangkan jam sudah menunjukkan angka 7 malam dan perjalanan menuruni bukit masih jauh memaksa peserta menggunakan lampu suluh pada telefon bimbit untuk memudahkan perjalanan.

 Dan hampir jam lapan malam baharulah semua peserta tiba di tempat kenderaan menunggu sebelum ke rumah panjang Keruin untuk aktiviti santai lain.

  • oleh
  • Advertisement