Anda di sini

JBPM Sabah, TTS meterai MoU keselamatan di Gunung Kinabalu

Advertisement
 Hajiji (tengah) menyerahkan peralatan menyelamat kepada MOSAR.
UTAMAKAN KESELAMATAN: Hajiji (tengah) menyerahkan peralatan menyelamat kepada MOSAR.

KOTA KINABALU:  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dan Taman-Taman Sabah (TTS) telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan kelangsungan dan kesinambungan keselamatan di Gunung Kinabalu.

Pengarah JPBM Sabah Nordin Pauzi berkata ia adalah sebagai pelaksanaan pengurusan penugasan dan pemantauan pengoperasian Pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) di Gunung Kinabalu.

JPBM Sabah telah pun melantik seramai 40 malim gunung untuk menjadi PBB MOSAR yang akan bertindak sebagai penyelamat awal apabila berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 peringkat JPBM Sabah, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din, Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah Datuk Seri Tengku Dr Zainal Abidin Tengku Mahamood.

Selepas majlis menandatangani MoU itu, Hajiji turut menyerahkan peralatan moden untuk aktiviti penyelamatan oleh MOSAR yang bernilai kira-kira RM130,000.

Nordin berharap MoU berkenaan akan memberi satu peluang yang baik antara kedua-dua agensi menyediakan perkhidmatan seumpama itu.

Katanya MOSAR ditubuhkan selepas tragedi gempa bumi Sabah pada 5 Jun 2015 dan beroperasi sepenuhnya pada September tahun yang sama.

Proses pemilihan MOSAR ini agak berbeza dengan PBB yang lain kerana kita membuka peluang kepada malim gunung sahaja dengan mendapat nasihat dari Taman-Taman Sabah bahawa mereka adalah yang paling berupaya serta mempunyai kepakaran dan juga ketahanan fizikal untuk bekerja di gunung.

Kita berjaya melatih mereka secara perlahan-lahan sekalipun sebelum ini mereka berkemahiran dalam pendakian tetapi mereka beransur-ansur menguasai ilmu penyelamatan.

Kita yakin dapat menubuhkan serta mempunyai pasukan malim gunung ataupun MOSAR yang terbaik tetapi memerlukan sedikit masa dengan bantuan Taman-Taman Sabah dan kepakaran daripada JPBM,” jelasnya.

Menurutnya walaupun hanya mempunyai kekuatan seramai 40 orang yang mana melebihi kapasiti sebuah balai bomba kecil, mereka akan bertugas secara bergilir.

Mengikut penggiliran, kira-kira tujuh hingga 14 MOSAR akan ditugaskan.

Namun sekiranya berlaku kecemasan, kesemua MOSAR ini boleh digerakkan kerana mereka telah dilatih dan mempunyai pakaian serta alat yang sesuai untuk aktiviti menyelamat,” katanya.

Nordin berkata MOSAR yang bertugas perlu berada di sepanjang laluan pendakian dan dipecahkan bagi mengiring peserta atau pendaki pertama serta terakhir.

Sementara itu, Jamili berkata walaupun terdapat pasukan yang dilatih untuk menyelamat daripada pihaknya, namun penubuhan MOSAR itu adalah sebagai pasukan tambahan yang mana dilatih dengan lebih sistematik dan mempunyai pakaian seragam tersendiri.

Selain itu, pemilihan MOSAR dalam kalangan malim gunung juga adalah satu idea yang baik.

Ia mengambil kira fizikal dan juga penyesuaian mereka dalam keadaan pergunungan kerana bagaimana cergas sekalipun seseorang itu, jika tidak dapat membiasakan diri dengan keadaan pergunungan, mereka akan terkena akut penyakit gunung.

Tetapi dalam kalangan malim, mereka sudah menyesuaikan diri dengan suasana tanah tinggi serta tekanan oksigen yang kurang.

Bukan itu saja, dalam kalangan 40 MOSAR ini, mereka juga adalah malim gunung jika tidak bertugas sebagai MOSAR pada ketika itu,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, latihan fizikal terhadap pasukan MOSAR akan sentiasa berterusan.

Advertisement