ATHENS: Polis pelabuhan Greece kelmarin mengesahkan 16 termasuk wanita dan kanak-kanak mati setelah sebuah bot disyaki membawa pendatang karam luar pantai pulau Aegean Lesbos.
Mayat enam wanita, seorang kanak-kanak dan dua lelaki ditemui di perairan Greece, manakala pengawal pantai Turki menemui mayat enam lelaki dan seorang kanak-kanak, menurut pengawal pantai Greece.
Pihak berkuasa Greece tidak menerima sebarang panggilan kecemasan sebelum penemuan mayat-mayat tersebut, menurut jurucakap pengawal pantai.
Keadaan cuaca di kawasan tersebut adalah sederhana.
Usaha mencari diteruskan selepas seorang wanita hamil, salah seorang daripada dua mangsa terselamat, memberitahu pihak berkuasa terdapat 25 orang di dalam bot getah tersebut.
Menurut dua pendatang Afrika itu, bot mereka bocor lalu tenggelam pada malam Ahad lalu, menurut agensi pelarian PBB UNHCR.
Kepulauan Greece di Laut Aegean Sea merupakan lokasi transit utama pelarian yang mahu pergi ke Eropah melalui Turki.
Satu lagi titik kemasukan adalah di utara Greece dekat sempadan dengan Turki di mana satu lagi kemalangan membabitkan pendatang berlaku kelmarin.
Sebuah van membawa 15 pendatang haram terbalik setelah dipecut laju kerana dikejar polis, menyebabkan seorang lelaki Iran berusia 35 tahun terbunuh, menurut polis Greece.
Tiga lagi pendatang dan pemandu van, warga Moldova berusia 29 tahun, cedera dan kini dirawat di hospital, kata polis.
Pihak berkuasa menambah, selain mangsa maut, terdapat lima warga Bangladesh serta masing-masing tiga dari Pakistan, Iraq dan Iran di dalam van tersebut. — AFP