Anda di sini

Tiga unit terbakar

Advertisement
 Anggota bomba berusaha memadam kebakaran tiga unit tingkat atas bangunan kedai tersebut.
PADAM: Anggota bomba berusaha memadam kebakaran tiga unit tingkat atas bangunan kedai tersebut.

MIRI: Tiga unit tingkat atas bangunan kedai musnah dalam kebakaran di sebuah pusat komersial di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, kebakaran disedari beberapa orang awam dan pemilik kedai yang berada di tingkat bawah bangunan tersebut.

Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Terry Robson berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 12.15 tengah hari.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, kami mendapati asap sudah mulai tebal dengan keadaan tingkat atas kedai 50 peratus hangus.

“Dipercayai daripada maklumat pemilik bangunan ini, unit di tingkat atas dijadikan rumah sewa.

“Tiada mangsa cedera, kebetulan pada masa kejadian, kesemua penghuni tidak berada di rumah dipercayai pergi bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas operasi memadamkan kebakaran.

Terry berkata sebanyak 32 anggota dan lima jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan BBP Lopeng terlibat dalam operasi pemadaman ini, keadaan terkawal pada jam 1.30 petang.

“Punca sebenar kejadian dan anggaran jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Selepas operasi pemadaman selesai, 3 unit tingkat atas bangunan kedai tersebut telah hangus 100 peratus dan 3 unit tingkat bawah mengalami kerosakan dalam 30 peratus.

Semasa kejadian, semua kedai yang berdekatan diarahkan untuk tutup dan menyelamatkan diri serta dapat dilihat, kedai bersebelahan dengan lokasi kebakaran bergegas memindahkan barang-barang mereka ke tempat lebih selamat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin turut hadir ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri situasi kebakaran tersebut.

Lee berkata, siasatan lebih lanjut perlu dijalankan untuk mengenal pasti punca berlakunya kebakaran ini.

“Jika siasatan mendapati ia melibatkan aliran elektrik, maka pemilik perlu dinasihatkan untuk memastikan setiap penyelenggaraan elektrik perlu dilakukan oleh mereka yang pakar dan bukan dibuat sewenangnya,” katanya.

Lee turut mengucapkan syabas kepada BBP Miri dan Lopeng atas tindakan pantas mengawal situasi kebakaran tersebut.

  • oleh
  • Advertisement