Anda di sini

Agensi pusat perlu bincang

Advertisement
 Musa menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Anjung Muara Beluran sambil diperhatikan oleh tetamu kehormat lain.
RASMI: Musa menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Anjung Muara Beluran sambil diperhatikan oleh tetamu kehormat lain.

BELURAN: Agensi kerajaan pusat perlu sentiasa berhubung atau berbincang dengan para pegawai atau agensi kerajaan negeri bagi memastikan peruntukan yang disalurkan boleh mencapai sasaran.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, pihak kerajaan negeri Sabah bersyukur dan gembira kerana banyak peruntukan diberikan oleh kerajaan pusat melalui ADUN atau wakil-wakil rakyat di negeri ini yang berjaya dilaksanakan dengan baik dan mencapai sasaran.

Bagaimanapun katanya, terdapat juga peruntukan daripada kerajaan pusat melalui kementerian tertentu yang tidak menepati sasaran ekoran tiadanya perbincangan atau penyelarasan dengan agensi kerajaan negeri.

Bercakap pada sidang media selepas perasmian bangunan Kedai Sedcovest dan SUDC dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Anjung Muara Labuk di sini, kelmarin beliau berkata perkara itu (tidak menepati sasaran) ada berlaku sebelum ini.

Beliau berharap perkara itu dilihat dan diteliti agar peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat di negeri dapat dilaksanakan tanpa tersasar daripada matlamat atau sasaran sebenar demi memastikan rakyat mendapat manfaat dan faedah daripada peruntukan itu.

Sementara itu, Musa yang Menteri Kewangan Negeri menjelaskan siri lawatan ke pelbagai daerah di Sabah bersama-sama para menteri dan pembantu menteri serta pelbagai agensi kerajaan adalah bertujuan mendekati rakyat dan menyelami permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

Sebagai contoh katanya, taklimat pembangunan daerah yang disampaikan oleh dua pegawai daerah (Beluran dan Telupid) memberi manfaat yang banyak kerana pihaknya dapat mengetahui secara terperinci dan mendapat gambaran yang jelas tentang status pelaksanaan, perancangan serta keperluan pembangunan yang mendesak dan perlu diberi keutamaan.

“Kerajaan akan beri pertimbangan sewajarnya mengikut keutamaan untuk melaksanakan sesuatu projek pembangunan demi faedah rakyat. Ini cara kita bekerja untuk rakyat,” katanya sambil menjelaskan bahawa lawatan seumpamanya bukan semata-mata kerana menjelangnya pilihan raya.

“Kita turun padang untuk bertemu rakyat… ini tradisi kita dan ia bukan kerana pilihan raya,” jelasnya.

Musa berkata, banyak permohonan pembangunan dikemukakan termasuklah dari kawasan Beluran, Telupid dan Sugut sebagai antara kawasan yang terpencil dan pihak kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada apa juga permohonan yang dikemukakan.

Menurutnya penduduk di luar bandar seperti di kawasan Sugut akan dapat menikmati kemudahan bekalan air dan elektrik pada masa akan datang sehingga boleh mencapai 80 peratus.

Katanya, kedua-dua ADUN (Sugut dan Labuk) sentiasa proaktif mengemukakan pelbagai permohonan untuk kebaikan dan kesejahteraan serta kemajuan para penduduk.

Dalam aspek pendidikan, beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada kepimpinan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah di Beluran kerana berjaya mencapai keputusan yang baik apabila terdapat sekolah mencapai kelulusan yang baik dalam peperiksaan.

Dalam taklimat pembangunan daerah sebelum itu, Pegawai Daerah Beluran Suhaili Riman menyatakan terdapat sekolah di Beluran iaitu SMK Beluran dan SMK Pamol mencapai lulus 100 peratus dalam STPM 2016, selain turut melahirkan pelajar cemerlang 10A dalam SPM 2016.

Advertisement