Anda di sini

Lelaki dipenjara empat bulan pukul isteri

Advertisement

KUALA LUMPUR: Akibat memukul isterinya kerana berang apabila wanita itu menyuruh anaknya membuang sarapan, seorang peniaga minuman dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Nasroon Hafiz Ramli, 24, selepas dia mengaku bersalah mencederakan isterinya yang berumur 21 tahun, dengan menumbuk muka serta memijak badan dan kepalanya. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap pada Khamis lepas (23 Feb).

Bapa dua anak itu melakukan kesalahan tersebut di rumahnya, di PPR Beringin, di sini, pada 8.30 pagi - kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia sudah menyesal atas perbuatannya.

“Saya mempunyai dua orang anak yang masih kecil, saya dan isteri sudah berkahwin selama lima tahun, kami berniaga minuman ‘big cup’... Saya berjanji tidak akan ulang kesalahan sama lagi,” katanya dengan nada sebak.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika mangsa pulang dari membeli sarapan, mangsa meminta tertuduh tolong menjaga anak yang berusia lapan bulan kerana mangsa mahu memasak.

Namun tertuduh tidak mengendahkannya, lalu mangsa menyuruh anak perempuan mereka membuang sarapan yang dibeli ke dalam tong sampah.

Tertuduh yang berang bertindak memukul isterinya sehingga lebam di bawah mata, calar di tangan dan benjol di kepala. — Bernama

Advertisement