Anda di sini

Industri swasta digalak ambil peluang disediakan kerajaan

Advertisement

KOTA KINABALU: Industri sektor swasta termasuklah Industri Kecil Sederhana (IKS) dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) serta pengusaha perniagaan digalakkan mengambil peluang yang disediakan menerusi pentadbiran mesra pernigaan oleh Kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, kerajaan telah berusaha untuk menggalakkan dan membolehkan usaha niaga bersama dengan menyediakan infrastruktur.

“Kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk membantu dan akan terus berbuat demikian. Kerajaan akan terus menyokong aktiviti seperti Expo Antarabangsa Sabah (SIE) 2016.

“Ekspo seumpamanya terbukti berjaya dan memberikan manfaat kepada IKS dan PKS,” katanya ketika dalam majlis makan malam tahunan  Persekutuan Industri Sabah (FSI) kali ke-33 di sini malam Jumaat lalu.

Teks ucapanya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Musa turut memuji inisiatif yang diambil oleh ahli-ahli FSI dan ahli-ahli persatuan yang baharu diwujudkan iaitu Persatuan Majikan Sabah (SEA).

Beliau berharap, FSI dan SEA akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Buruh dan lain-lain agensi untuk menjadi jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi.

“Saya percaya wujud satu keperluan untuk mencari cara bagi mengatasi cabaran secara telus agar kita bersama-sama boleh mencapai semua objektif tanpa berhadapan dengan sebarang kelewatan.

“Dunia perniagaan sentiasa berubah dan sektor industri perlu sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk kekal releven, mampan dan berdaya saing,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang responsif, polisi yang sedia ada sentiasa disemak untuk bergerak selari dengan perubahan yang ada.

“Walaupun sebahagian polisi ini mempunyai impak negatif terhadap aktiviti perniagaan, tetapi pengalaman yang ada membuktikan kita boleh bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang wujud,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Presiden FSI Datuk Mohd Basri Abd Gafar serta tetamu kehormat yang lain.

Advertisement