Anda di sini

MARA bantu ubah nasib bangsa selepas kemerdekaan negara

Advertisement

KOTA KINABALU: Penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) membantu mengubah nasib bangsa Melayu dan Bumiputera selepas negara mengecapi kemerdekaan.

Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa berkata penubuhan berkenaan adalah bagi menghalang pihak luar mempertikaikan pelaksanaan tugas MARA untuk membela bangsa negara melalui MARA.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno menjelaskan pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh MARA bagi meningkatkan dan menjaga kebajikan rakyat.

“MARA telah melaksanakan peruntukan pembangunan luar bandar untuk rakyat yang tinggal di luar bandar.

“Begitu juga dengan kewujudan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (Risda) dengan belanjawan untuk menjaga kebajikan pernoreh getah.

“Bagi nelayan pula, kita wujudkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Ko-Nelayan dan sebagainya juga bagi menjaga kebajikan rakyat negara yang bergelar Melayu dan bumiputera,” katanya ketika berucap pada Program Engagement Pengerusi Mara bersama warga kerja dan pelajar Mara Sabah, di sini, kelmarin.

Annuar berkata semua itu adalah selepas pembentukan Umno untuk menuntut kemerdekaan yang mana negara pada masa itu terpaksa mewujudkan wadah perjuangan politik.

“Selepas kira-kira 400 tahun lebih tidak ada wadah perjuangan, kita duduk di bawah jajahan kuasa luar tanpa sebarang kekuatan akhirnya kita bersatu wujudkan wadah politik untuk menuntut kemerdekaan.

“Selepas merdeka kita wujudkan negara dan perlembagaan yang mana tertulis tentang apa yang diiktirafkan sebagai Melayu dan bumiputera.

“Kerana tertulisnya kedudukan orang Melayu dan bumiputera pada perlembagaan maka sahlah bagi kita boleh menggunakan wang negara dan kekayaan negara untuk memajukan orang Melayu dan bumiputera dalam negara kita dengan tertubuhnya Mara,” katanya.

Selain itu, katanya, negara kini memberi peluang kepada bangsa Melayu dan bumiputera untuk mentadbir dan memimpin negara seperti termaktub dalam perlembagaan.

Advertisement