Anda di sini

Polis tahan lelaki menyamar polis

Advertisement
 Chandra (tengah) menunjukkan baju T berlambang PDRM dan gari yang dimiliki suspek selepas sidang media kelmarin.

MENYAMAR: Chandra (tengah) menunjukkan baju T berlambang PDRM dan gari yang dimiliki suspek selepas sidang media kelmarin.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mengaku sebagai anggota anggota polis ditahan selepas gagal mengemukakan pengenalan diri polis yang sah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, selepas disoal siasat polis, suspek yang berumur 57 tahun itu turut gagal memaklumkan alamat tempatnya bertugas.

Menurutnya, lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 2.15 petang pada 17 Februari lepas di kawasan Blok C Skim Penempatan Telipok Manggatal, di sini.

Sebelum kejadian jelasnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Balai Polis Manggatal menjalankan rondaan ‘Ops Ledak’ di kawasan berkenaan.

Pihaknya mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan jenis Isuzu D-Max berwarna hitam dipandu oleh seorang lelaki yang memakai baju T warna hitam mengguna logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sewaktu pemeriksaan dijalankan, kenderaan berkenaan turut didapati menggunakan satu pelekat nombor pendaftaran yang menggunakan logo PDRM.

“Selain itu, satu topi berwarna kelabu berlambangkan logo PDRM turut diletakkan di atas papan permukaan kenderaan (dashboard).

“Suspek pada mulanya mengaku dirinya seorang anggota polis, namun apabila disoal lanjut beliau gagal mengemukakan pengenalan diri polis yang sah serta alamat tempat beliau bertugas,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Hasil pemeriksaan turut menemui satu gari jenis ‘Boss’ berserta sarung gari hitam bertulis ‘Police’ yang diletakkan di atas kerusi hadapan sebelah penumpang hadapan.

Chandra berkata, tiga helas baju T berwarna hitam yang menggunakan lambang PDRM turut ditemui di dalam kenderaan terbabit.

Sehubungan itu, suspek ditangkap dan kesemua barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.

“Suspek yang tidak memiliki sebarang rekod jenayah ini menggunakan kenderaan yang dimiliki oleh abang iparnya.

“Semua barang rampasan termasuklah kereta Isuzu D-Max, satu gari, satu sarung gari, empat helai baju T, satu topi berlogo PDRM, dan dua keping pelekat berlambang PDRM dianggarkan berjumlah RM60,000 keseluruhannya,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 89 (a) Akta Polis 1967, Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 171 Kanun Keseksaan.

Pihaknya menasihatkan supaya pembekal dan penjual mendapat lesen serta kebenaran menjual peralatan polis dan pasukan beruniform yang lain.

Menurut Chandra, penjual peralatan polis dan pasukan beruniform tidak dibenarkan menjual kepada orang awam kerana itu menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang.

“Orang awam yang diperiksa oleh polis atau pasukan beruniform, jika mereka merasa curiga boleh minta mereka tunjukkan kad kuasa terlebih dahulu untuk pengesahan bagi mengelak kejadian jenayah berlaku.

“Mereka juga boleh membuat pengecaman terhadap kenderaan suspek yang dicurigai atau sekiranya berlaku jenayah.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menghubungi pihak polis sekiranya melihat atau didatangi oleh orang yang dicurigai sebagai penguat kuasa undang-undang atau badan beruniform yang lain,” katanya.

 

 

Advertisement