Anda di sini

Tambah siaran radio bahasa Melanau

Advertisement
ABU SEMAN

ABU SEMAN

KUCHING: Memandangkan pada masa ini bilangan pendengar dan peminat siaran radio bahasa Melanau yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak semakin meningkat maka wajar siaran bahasa itu ditambah.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie berkata pada masa ini siaran bahasa Melanau di RTM Sarawak cuma disiarkan ke udara selama satu jam sekali seminggu iaitu pada setiap Ahad sahaja.

Menurutnya, ini bermakna siaran bahasa Melanau cuma berkumandang di udara sebanyak 52 kali dalam masa setahun.

“Sudah tiba masanya siaran bahasa Melanau ditambah masa siarannya kerana bilangan pendengar dan peminatnya juga semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu memberitahu bahawa banyak faedah dan maklumat serta berita dapat disampaikan dan langkah tersebut dapat memartabatkan bahasa Melanau di negeri ini.

Abu Seman menambah, siaran perkhidmatan bahasa Melanau di RTM Sarawak haruslah dipanjangkan masa siarannya bagi memberi peluang kepada masyarakat Melanau terutama di wilayah tengah Sarawak.

“Saya amat berharap agar pihak RTM Sarawak dapat mempertimbangkan cadangan ini demi keselesaan dan memberi maklumat pembangunan negeri ini kepada masyarakat Melanau di luar bandar,” jelasnya.

Sementara itu, Abu Seman turut mencadangkan agar ‘beacon light’ atau ‘api pandu arah’ masuk muara sungai Batang Igan dan Kuala Matu sentiasa dalam keadaan baik dan terus diselenggarakan dari semasa ke semasa.

Katanya ini penting bagi kegunaan kapal-kapal khususnya perahu-perahu nelayan yang keluar masuk di kawasan Kuala Igan dan Kuala Matu.

“Saya harap pihak terbabit dapat menyelenggara api pandu arah itu dengan sempurna bagi memberi keselesaan kepada perahu-perahu nelayan dan kapal-kapal yang melalui muara sungai tersebut,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Abu Seman turut mencadangkan agar kerja-kerja penyambungan jalan menuju ke Kampung Kebuaw dari bulatan Jalan Matu/Igan dilaksanakan.

“Ini bagi memberi keselesaan kepada penduduk Kebuaw yang hendak ke Matu atau ke Mukah melalui jalan darat,” katanya sambil menambah, buat masa ini perjalanan ke Kebuaw mewajibkan penggunaan jalan sungai yang mengambil masa dan kurang selesa.

Advertisement