Anda di sini

Transformasi ATM perkukuh pertahanan negara

Advertisement

SENTIASA BERSEDIA: Mohd Nazir memberi tabik hormat ketika menghadiri Acara Perbarisan Sambutan Hari Tentera Darat Malaysia Ke-81 di Kem 1 Divisyen, Muara Tuang semalam.

KUCHING: Pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus melaksanakan transformasi Tentara Darat dengan tertubuhnya Markas Wilayah Timur di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak berkuat kuasa semalam.

Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami berkata, sebagai permulaan kedua-dua negeri terbabit akan berkongsi markas berkenaan.

“Itu merupakan penstrukturan semula Tentera Darat bagi mewujudkan keyakinan dan keselamatan untuk di negeri Sabah dan Sarawak.

“Ia juga merupakan pengembangan yang kita jalankan dan kemudahan yang kita guna adalah secara guna sama iaitu di Markas 1 Divisyen, Muara Tuang.

“Penstrukturan semula ini adalah untuk memperkukuhkan pertahanan di Wilayah Timur negara dan fungsinya masih sama seperti sebelumnya,” ujarnya ketika ditemui selepas Acara Perbarisan Sambutan Hari Tentera Darat Malaysia Ke-81 di sini, semalam.

Mohd Nazir berkata, kemungkinan beberapa briged dan batalion baharu akan ditubuhkan bagi wilayah pemerintahan timur terbabit.

Beliau turut memberitahu pendekatan lain yang diambil pihak ATM adalah penubuhan Briged Sempadan bagi membantu infantri-infantri lain mempertahankan sempadan timur negara.

Katanya, Briged Sempadan telah dijenamakan semula yang dahulunya dikenali sebagai Briged Ke-30 Infantri yang mana skop tugasnya akan diperluaskan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan.

“Persempadanan di antara Sabah, Sarawak serta Kalimatan adalah terlalu panjang, jadi kita memerlukan pasukan tambahan untuk membantu mempertahankan keselamatan sempadan.

“Pasukan ‘ad hoc’ memerlukan perancangan teliti dan masa yang panjang, lantas bagi mewujudkan rejimen memerlukan keanggotaan dan penempatan yang masih dalam perancangan.

“Bagaimanapun, pelaksanaan Briged Sempadan bergantung kepada faktor kewangan, penempatan dan perjawatan dalam penubuhan rejimen yang masih memerlukan naik taraf kemudahan,” jelasnya.

Terdahulu, beliau membacakan perutusan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-81 mewakili Panglima Pemerintah Wilayah Timur Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar di hadapan 27 Pegawai dan 504 anggota ATM pelbagai pangkat.

Mohd Nazir juga menyerahkan sijil penghargaan kepada lima anggota tentera dan tiga orang awam atas perkhidmatan cemerlang masing-masing.

Beliau turut diiringi isteri Datin Raja Mariah Raja Latiff, Ketua Kakitangan 1 Divisyen Kolonel Mohd Mahmud Ahmad, Ketua Kakitangan 3 Briged Kolonel Hashim Othman dan Ketua Pegawai Pergigian Markas 1 Divisyen Kolonel Dr Hazudin Hassan.

Advertisement