Anda di sini

1MTC mampu menjimatkan RM0.5 bilion dana kerajaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan mampu menjimatkan hampir setengah bilion ringgit setahun melalui pengoptimuman perkhidmatan guna sama portal Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Beliau berkata jangkaan penjimatan itu adalah berdasarkan pemantauan Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang mendapati penggunaan institut latihan awam (ILA) yang berdaftar di bawah 1MTC berjaya mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan kepada RM11.26 juta seminggu.

Entulu berkata 1MTC bertindak sebagai repositori yang mengumpulkan semua maklumat berkaitan kursus dan fasiliti yang terdapat di ILA di seluruh negara.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Wisma Bernama semalam, beliau berkata sejak ditubuhkan pada Mac 2012, terdapat 346 ILA dilengkapi pelbagai fasiliti kursus telah pun  mendaftar di bawah 1MTC.

1MTC merupakan antara perkhidmatan guna sama teknologi maklumat dan komunikasi kerajaan yang merentasi agensi awam di bawah Strategi Lautan Biru Negara.

“Agensi kerajaan yang memerlukan tempat latihan atau fasiliti akan mendapatkan penjimatan dengan menggunakan kemudahan di ILA berbanding kos yang perlu ditanggung jika latihan itu atau tempahan fasiliti dilaksanakan di kemudahan swasta.

“Ini sekali gus dapat mengoptimumkan perkongsian sumber dan kemudahan yang ada di semua ILA yang sebelum ini kurang dimanfaatkan,” katanya.

Lawatan itu turut disertai Ketua Pengarah MAMPU Datuk Wira Omar Kaseh dan 14 pegawai kanan serta kakitangan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Entulu juga berkata melalui portal www.1mtc.gov.my, selain agensi kerajaan orang awam dapat mengetahui dengan lebih cepat dan tepat maklumat berkaitan fasiliti serta kursus yang ditawar oleh ILA seterusnya membuat tempahan, jika mereka berminat.

Terdahulu, Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong menyampaikan taklimat ringkas berkaitan operasi agensi berita itu kepada Entulu dan rombongannya diikuti sesi lawatan ke bilik berita utama Jabatan Pengarang, Radio 24 dan BernamaTV. — Bernama

Advertisement