Anda di sini

SUPP perlu ‘jambatan penghubung’ untuk selesai pertelagahan

Advertisement

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Richard Riot Jaem percaya sekiranya ada ‘jambatan penghubung’ antara kedua-dua pihak yang bertelagah dalam parti pasti pertelagahan dapat dipulihkan.

Menurutnya, sekiranya perselisihan antara kedua-dua pemimpin tertinggi SUPP itu berterusan ia pasti membawa kesan negatif terhadap parti malah pendaftarannya juga boleh dibatalkan.

“Saya ingin melihat kedua-dua pihak tersebut berbaik semula, saya tidak mahu melihat parti ini dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Masalah inilah yang menjadi isu dalam SUPP pada masa ini.

“Sebab itulah saya bersetuju dengan nasihat daripada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib (semasa program di Miri malam kelmarin) yang mahukan kedua-duanya berbaik supaya parti kembali kukuh seterusnya memantapkan lagi parti induk, Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media Majlis Perasmian Klinik Gaji Minimum Peringkat Negeri Sarawak dekat sini, semalam.

Riot yang juga Menteri Sumber Manusia menambah, dia tidak percaya bahawa masalah antara Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin dan Ketua SUPP Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh tidak dapat dileraikan.

Jelasnya, beliau tidak memihak sesiapa dalam perbalahan antara dua pemimpin tertinggi SUPP itu kerana baginya paling penting ialah bersatu.

“Walaupun bukan mudah untuk kedua-duanya mengalah, lakukan untuk parti, untuk negeri dan jika dapat berdamailah.

“Paling penting dan perlu difikirkan pada masa ini ialah strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Ketika ditanya sekali lagi mengenai kesediaannya menjadi presiden SUPP, Riot menjelaskan bahawa semuanya adalah bergantung kepada ahli parti.

“Saya tidak mahu orang ramai salah faham. Ia merupakan langkah terakhir sekiranya perlu.

“Tetapi saya tetap menghormati presiden parti dan saya berharap masalah tersebut dapat diselesaikan dengan perdamaian.

“Jika kedua-duanya masih tidak dapat berdamai, saya bersedia mengemudi SUPP dan ia bukanlah untuk bersaing.

“Dan sekiranya saya menjadi presiden dan gagal dalam tempoh satu penggal (tiga tahun), saya sendiri akan mengundur diri,” katanya.

Terdahulu, perbalahan antara kedua-dua pemimpin tertinggi itu berlaku pada Perhimpunan Tritahunan (TDC) SUPP pada Disember 2011.

Kini, SUPP diberi tempoh 30 hari bermula 6 Januari 2014 untuk menunjukkan surat tunjuk sebab kepada ROS bagi mengelakkan pendaftaran parti itu dibatalkan.

Sehingga kini, ROS masih belum menetapkan sebarang keputusan.

Advertisement