SRI AMAN: Seorang lelaki tempatan maut selepas terkena tembakan di kepala yang dikatakan dilepaskan secara tidak sengaja oleh rakannya sendiri semasa berburu di kawasan hutan Sungai Dor, Melugu, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Superintenden Dennis Bunyam berkata siasatan awal mendapati suspek seorang lelaki berusia 46 tahun yang juga rakan berburu mangsa telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangkanya seekor babi hutan.
Menurutnya, mangsa yang berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama selepas kejadian.
“Hasil siasatan mendapati suspek tidak memiliki lesen senjata api yang sah untuk menjalankan aktiviti berburu di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Polis turut merampas selaras senapang patah yang digunakan dalam kejadian tersebut.
Suspek kini ditahan reman sehingga 30 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat serta disiasat mengikut Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen sah.
“Orang awam dinasihati agar sentiasa mematuhi undang-undang berkaitan pemilikan dan penggunaan senjata api serta memastikan aktiviti berburu dijalankan dengan permit dan lesen yang sah daripada pihak berkuasa,” kata Dennis.